Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sarimah jadi mangsa scammer produk kesihatan
Diterbitkan:  May 10, 2024 3:32 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Anak pelakon legenda tanah air, Sarimah Ahmad terkilan apabila wujud segelintir pihak meraih keuntungan dengan menggunakan nama ibunya melalui akaun palsu di Facebook (FB).

Menurut Shahray Zulkifli, identiti dan testimoni ibunya digunakan laman Facebook palsu terbabit bagi mempromosi atau menjual produk makanan kesihatan kepada orang ramai.

“Saya ini baru bersara selepas bertugas sebagai peguam syarie di Brunei selama 24 tahun selalu terima berita yang tidak ‘sedap’ dari sana…

“Sejak semalam berita negatif saja yang melanda... pihak pihak tidak bertanggungjawab guna nama mak saya dan mewujudkan FB jual produk suplemen yang tidak ada kena mengena dengan mak saya.

“Mereka ini adalah scammer. Jadi diharap jangan percaya dengan laman FB sebegini. Ini scammer yang tiada hati perut, guna nama artis artis veteran untuk kepentingan diri,” katanya.

Menurut Shahray, 55, setakat ini terdapat dua akaun palsu FB dikesan yang menggunakan wajah serta nama ibunya bagi tujuan terbabit.

Lebih parah katanya, ibunya yang terkenal dengan filem-filem hitam putih seperti Ali Baba Bujang Lapok, Ibu Mertuaku dan Madu Tiga itu langsung tidak tahu menggunakan FB mahupun mempunyai akaun di media sosial.

“Setakat yang saya tahu ada dua akaun FB yang gunakan nama dan gambar mak saya yang memang tidak pernah tahu mengenai akaun akaun media sosial.

“Mereka menggunakan nama dan gambar mak saya untuk jual produk suplemen yang tidak ada kena mengena langsung dengan mak saya.

“Pagi tadi mak saya telefon saya dengan nada sedih atas tindakan pihak pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Sudah sudahlah ambil kesempatan atas mak saya,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan Shahray memberi tempoh 24 jam sebelum melaporkan isu itu kepada pihak berkuasa.

Menurut Shahray, dia berharap pihak tidak bertanggungjawab segera menghentikan perbuatan mereka.

Katanya, pihaknya menyerahkan pada Allah bagi membalas perbuatan orang yang menganiaya orang lain.

“Doa orang teraniaya ini selalunya dikabulkan Tuhan lebih lebih lagi pada hari Jumaat seperti ini.

“Hanya pada Allah saja kami berserah dan mengharapkan perlindungan dan rezeki darinya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS