Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shila, Ubai sambut puteri Rhea Akira
Diterbitkan:  May 10, 2024 10:36 AM
Dikemaskini: 2:36 AM

Penyanyi Shila Amzah selamat melahirkan anak perempuan yang diberi nama Rhea Akira malam tadi.

Berita itu dikongsikan suami Shila, pempengaruh Ubai MZ melalui hantaran di Instagram malam tadi.

“9 Mei 2024. Alhamdulillah, isteri saya sudah selamat bersalin. Gugur air mata dan sebak melihat isteri bertarung nyawa demi cahaya mata tercinta.

"Pengalaman pertama kali melaungkan azan pada cahaya mata kami, sungguh luar biasa. Perasaan yang tak dapat saya ungkapkan,” katanya.

Bagaimanapun, Ubai tidak menjelaskan butiran terperinci mengenai kelahiran bayi sulung mereka itu.

Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 2023.

Shila atau nama penuhnya Nur Shahila Amir Amzah sebelum itu berkahwin dengan Haris Idraki Elias pada 2018 namun bercerai selepas empat tahun berkahwin.

Hasil perkongsian hidup, Shila, 33, dan Haris dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Seth Uwais.

Melalui hantaran sama, Ubai atau nama penuh, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, turut meluahkan rasa syukur atas rezeki itu.

Ubai, 25, turut membayangkan kelahiran bayi mereka pasti menggembirakan arwah ibunya, Rohani Jamal.

“Terima kasih ya Allah atas rezeki yang kau berikan pada kami sekeluarga. Cucu pertama arwah emak sudah selamat dilahirkan.

“Mesti arwah mak gembira takdir dan perancangan Allah itu sangat hebat. Akan kami jaga sehabis baik amanah dan rezeki yang Engkau berikan ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS