Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Penyanyi rap AS abadikan nama anak Gaza dalam lagu baru
Diterbitkan:  May 8, 2024 3:27 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Rapper AS, Macklemore, berkongsi single terbaru berjudul Hind’s Hall di media sosial - yang dinyanyikan penuh semangat - sebagai menunjukkan sokongannya terhadap perjuangan memerdekakan Palestin.

Melalui lagu itu juga artis terbabit menyelar Presiden Joe Biden, dan pada masa sama menyatakan sokongan penuh terhadap bantahan dilakukan pelajar pro-Palestin yang berlangsung di kampus-kampus seluruh AS.

Judul lagu Hind’s Hall itu juga mempunyai kaitan dengan kesengsaraan dialami penduduk Gaza.

Ia merujuk kepada tindakan aktivis pro-Palestin menamakan semula Hamilton Hall di Universiti Columbia, New York, sebagai Dewan Hind sebagai penghormatan kepada seorang kanak-kanak Palestin, Hind Rajab, 6, yang dibunuh tentera Israel.

Lagu Macklemore itu antara lain menggunakan lirik: Masalahnya bukan mengenai protes, tapi apa yang mereka proteskan. Ia bertentangan dengan apa yang dibiayai negara kita."

Mengiringi lagu itu ialah rakaman video memaparkan sebahagian daripada bantahan terhadap Washington dan Israel yang berlangsung.

Pelajar pro-Palestin menuntut universiti mereka menjauhkan diri daripada Tel Aviv ketika serangan dan kekejaman ke atas Gaza berlanjutan sejak Okt lalu.

Dalam lagu itu, Macklemore - atau nama sebenar Benjamin Hammond Haggerty - membidas kenyataan bahawa seseorang adalah “berbohong” jika sikap “anti-Zionis adalah anti-Semitik”.

Dia juga menegaskan bahawa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Palestin.

Sokong seruan gencatan senjata

Macklemore, 40, yang menujukan lagu itu secara langsung kepada Biden juga sekali gus mengisytiharkan dia tidak akan mengundi ahli politik terbabit dalam pilihan raya presiden pada 5 Nov tahun ini.

Di Instagram, penyanyi lagu Can’t Hold Us itu berkata, apabila Hind’s Hall dimuat naik untuk plaform penstriman, hasilnya akan disalurkan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) untuk pelarian Palestin.

Walaupun Hind’s Hall belum dimuat naik di platform penstriman setakat ini, video lagu rapper terbabit sudah menerima lebih sejuta tanda suka di Instagram.

Orang ramai juga mengucapkan terima kasih atas pendirian yang dipaparkan Macklemore, selain meminta selebriti lain mencontohi tindakan rapper terbabit.

Macklemore menjadi penyokong lantang rakyat Palestin sejak tahun lalu. Kurang dua minggu selepas konflik bermula, penyanyi itu berkongsi mengenai kekecewaannya terhadap tragedi kehilangan nyawa di Israel dan Gaza.

“Hati saya sakit untuk warga Israel yang kehilangan orang tersayang, tapi membunuh insan tidak berdosa sebagai hukuman balas bukanlah jawapannya.

"Itu sebab saya menyokong orang lain di seluruh dunia yang menyeru gencatan senjata,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS