Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Rebel cabar kemampuan MK K-Clique
Diterbitkan:  May 5, 2024 3:30 PM
Dikemaskini: 7:37 PM

Meskipun sinonim watak hero dalam drama bergenre romantis, kali ini Bono dalam filem Rebel: Berontak Untuk Berotak menampilkan sisi berbeza penyanyi dan pelakon MK K-Clique apabila dia menjayakan karakter jahat di layar perak.

MK berkata, dia memang sudah lama mengidam watak jahat (antagonis) untuk filem genre aksi sekali gus mencabar kemampuannya dalam bidang lakonan.

“Apabila ditawarkan watak Bono, saya sangat bersyukur kerana dapat bekerja dalam filem sulung, Awie dan mencabar diri melakonkan watak jahat dalam filem.

“Saya tidak takut dibenci penonton kerana melakonkan watak jahat kerana ia sekadar lakonan.

“Watak Bono menjadi penjahat kerana dia tinggal di kawasan setinggan dan terdedah dengan persekitaran yang kurang baik,” katanya.

Mengenai persediaan pula, kata MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan, dia banyak membuat rujukan dengan menonton filem genre aksi dari dalam dan luar negara.

“Selaku pengarah, Awie juga banyak memberi bimbingan bagaimana untuk menjiwai watak Bono dalam filem itu.

“Saya terima tawaran pun kerana mahu bekerja dengan Awie kerana dia juga sama seperti saya dari penyanyi menjadi pelakon dan kini pengarah,” katanya.

Filem sulung arahan Awie, Rebel: Berontak Untuk Berotak itu diterbitkan Wau Productions Sdn Bhd dan Rumah Produksi Merah Sdn Bhd dengan kos pembikinan mencecah hampir RM1 juta.

Selain MK, filem itu turut dibintangi Ben Amir, Shiqin Kamal, Noralbaniah, Azlan Komeng dan Awie sendiri.

Ia mula menemui penonton di pawagam di seluruh negara bermula 2 Mei lalu.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan Awie, kata MK, 27, pada mulanya, dia berasa takut dan gementar untuk bekerjasama dengan vokalis kumpulan rock legenda Wings itu.

“Sebagai pelakon baru, saya tidak tahu karakter Awie di lokasi. Namun, saya tidak sangka, Awie seorang yang sangat baik, berhemah tinggi dan sangat professional ketika bekerja.

“Kalau kita buat sesuatu yang tak kena pun dia akan datang dan tegur dengan cara yang lembut dan sangat berhemah.

“Kalau penggambaran bermula lambat, Awie sendiri akan datang berjumpa pelakon dan kru untuk mohon maaf dan pastikan keadaan semua orang okay di lokasi,” katanya.

Ditanya babak paling mencabar pula, kata MK, ia membabitkan babak pergaduhan dalam filem itu.

“Saya banyak babak dengan watak utama Luka (lakonan Ben) dalam filem sarat aksi ini… Paling mencabar untuk buat babak pergaduhan yang berlangsung dari jam 8 malam hingga 6 pagi.

“Saya tidak mengalami kecederaan kerana produksi sangat menjaga aspek keselamatan dengan menyediakan pelakon lagak ngeri untuk babak yang bahaya.

“Sebelum penggambaran, kami juga giat berlatih dengan bantuan koreografer disediakan produksi di lokasi.

“Setakat sakit-sakit badan tu perkara biasalah dalam filem aksi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS