Radio Televisyen Malaysia (RTM) menangguhkan siaran semua drama membabitkan pelakon yang mencetuskan kontroversi sehingga dia benar-benar mendapatkan rawatan profesional dan berubah menjadi lebih baik.
Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman, berkata keputusan itu dibuat kerana soal tatasusila dan sosial membabitkan seseorang pelakon sentiasa menjadi pertimbangan sebelum membintangi drama yang akan ditayangkan RTM.
“Saya tidak mahu menamakan mana-mana pelakon. Cuma, apa boleh dikatakan, isunya sedang menjadi perbualan sekarang... (dan) saya sudah menghubungi penerbit drama itu, memaklumkan RTM akan menangguhkan siaran dramanya.
“Bukan apa, apabila drama ditayangkan, pihak stesen perlu buat promosi dan atur sesi temu bual bersama wartawan. Pada ketika itu nak jawab apa?” katanya.
Menurutnya, perkara itu sudah lama dibincangkan dengan semua pembekal drama agar mereka memastikan pelakon tiada masalah sensitif malah penerbit juga sedia maklum perkara tersebut.
“Kenapa kita berbuat demikian? Sebab apabila drama ditayangkan, mereka menjadi 'role model' kepada masyarakat,” katanya dipetik Harian Metro.
Menurut Suhaimi, RTM tidak mahu mengambil tindakan menggam atau banned mana-mana pelakon yang bermasalah.
Sebaliknya kata Suhaimi, stesen berkenaan mahu menggunakan pendekatan yang lebih halus iaitu memberikan rawatan psikologi, jiwa dan khidmat profesional.
“Di RTM kami percaya sekiranya seseorang itu bermasalah, dia kena dapat pertolongan. Jangan semasa artis itu sedang popular dia disanjung, tapi apabila ada masalah dia dibuang.
“Kita tidak tahu sama ada dia mempunyai masalah jiwa atau psikologi yang memerlukan bantuan.
“Kita kena terima hakikat yang dalam dunia hiburan ini, apa saja boleh berlaku. Dalam perkara sebegini, kita punya pendirian kena bantu dan bukan sisihkan,” katanya.
Menurutnya, RTM berpendapat menggam seseorang artis tidak membantu menyelesaikan masalah.
Bahkan kata Suhaimi, stesen berkenaan tidak mahu membunuh kerjaya seseorang pelakon.
“Bagaimanapun, sekiranya ia membabitkan salah laku jenayah kita memang tidak boleh terima,” katanya.