Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dituduh cover band, Kid dan Din: Nak cakap apa pun cakaplah...

Dua pemain gitar Search, Din dan Kid, memilih untuk enggan melayan provokasi dicetuskan kumpulan lain yang menggunakan nama sama selepas mereka dilabel sebagai cover band.

Sebagai reaksi kepada provokasi itu, Din berkata, isu dibangkitkan pemain bass Nasir Daud itu bukanlah perkara yang sesuai untuk diulaskan kepada umum.

“Dia (Nasir) nak cakap apa pun, cakaplah,” katanya ringkas.

Din, 60, berkata apa yang disentuh Nasir itu bukanlah sesuatu yang baru dipersoalkan oleh kumpulan terbabit.

Katanya isu berkenaan muncul sejak kumpulan Search berpecah.

"Kami tak pernah umum kami keluar dari Search,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Gemuruh di sebuah kafe di Wisma Concorde, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Konsert anjuran Big Stage Entertainment Channel dengan kerjasama MyMuzik Sendiri Entertainment itu akan berlangsung 29 Jun ini.

Selain Din dan Kid, Konsert Search Gemuruh itu juga akan menampilkan pemain bass Barbarik selaku sessionist, Rozaimie, serta Amir Masdi sebagai penyanyi jemputan.

Segmen persembahan khas pula akan menampilkan Ritz Metalasia, Muzza, Addy Cradle,Rozario Rasul, Ujang Exist, Fly Halizor dan Jovita Pearl dari X Factor Indonesia).

Bercakap kepada Malaysiakini baru-baru ini, Nasir menyarankan Din - atau nama sebenarnya Noordin Mohd Taib - dan Kid mencari idea lain untuk memperkenalkan diri mereka selepas kumpulan Search berpecah dua.

Bagi Nasir, Din dan Kid adalah cover band untuk Search disebabkan menggunakan pemuzik yang bersilih berganti untuk konsert mereka.

Jaga macam baby

Din menjelaskan setakat ini pihaknya tidak pernah mengumumkan mana-mana nama penyanyi mahupun pemuzik sebagai anggota tetap kumpulan yang dianggotai mereka.

“Kami suka mencuba tapi kami bukan nak cipta satu lagi fenomena,” katanya.

Sementara itu, menjawab cakap-cakap belakang berhubung pemilihan Amir berbanding vokalis sebelum ini, Denden Gonjalez, Din menafikan dakwaan dia ‘menyidai’ penyanyi Indonesia yang pernah diundang untuk Konsert Rockin On Rooftop di kompleks beli-belah Campbell, Kuala Lumpur pada 2022 itu.

Dakwa Din, hubungannya dengan Denden tetap seperti biasa malah dia baru saja menghubungi penyanyi terbabit sebelum sidang media tersebut berlangsung.

“Saya ada dengar ramai bercerita (tapi) selepas konsert kami di Johor Bahru tahun lalu, kami sangat okay dan gembira.

“Sewaktu dia di Malaysia, kami beri layanan yang baik, siap hantar dia pergi ke lapangan terbang. Kalau kamu (Denden) ada isu, datang jumpa saya. I yang jaga you macam baby,” katanya.

Denden Gonjalez

Dia juga diminta mengulas pendirian jurutera bunyi, Rahmad Kamikaze, yang membayangkan rasa tidak puas hati berhubung Konsert Gemuruh di media sosial baru-baru ini.

Kata Din pihak penganjur sebulat suara memilih nama Kuzai yang sebelum ini berpengalaman menguruskan Konsert Rockin On Rooftop.

“Orang luar tidak tahu mengenai pemilihan pemuzik dan jurutera bukan di bawah kuasa kami.

"Kami hanya mencadangkan, yang buat keputusan adalah penganjur.

“Tapi kalau Rahmad kata saya tipu dia, minta dia kemukakan bukti berhubung sebarang perjanjian yang dibuat. Kami ada berbual berkenaan konsert, tapi ia hanya secara lisan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS