Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Seniman gesa Sarah Yasmine henti selak aib artis
Diterbitkan:  Apr 30, 2024 12:48 PM
Dikemaskini: 5:44 AM

Demi menjaga nama baik industri hiburan, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menggesa Sarah Yasmine segera menghentikan apa jua tindakan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan dan merosakkan imej artis Malaysia.

Setiausaha Agung Seniman, Mohd Hafiz Mohd Nafiah, berkata langkah yang perlu diambil oleh warganegara Singapura itu ialah menyelesaikan isu berkenaan secara tertutup.

Katanya sejak tersebarnya berita tangkapan khalwat pasangan artis, Aliff Aziz dan Ruhainies, pada awal Mac lalu, pelbagai pihak membuat andaian dan memainkan persepsi sehingga menjejaskan kredibiliti industri hiburan tempatan.

“Justeru, selaras dengan dasar Seniman iaitu memperjuang, membela, menjaga kebajikan dan meningkatkan imej artis Malaysia, kami menganggap individu bernama Sarah Yasmine harus menghentikan segala isu yang melibatkan Aliff dan Ruhainies.

“Seniman juga mengingatkan semua pihak agar tidak mempolemikkan isu ini, sebaliknya hentikan segera segala perbalahan, kontroversi, salah-menyalah serta membuka aib mana-mana individu," katanya dalam kenyataan.

Nama Sarah Yasmine muncul selepas Aliff dan Ruhainies ditahan pihak berkuasa kerana disyaki berkhalwat kira-kira dua bulan lalu.

Dia menggunakan media sosial untuk membuat pelbagai dakwaan terkait dengan artis berkenaan.

Sarah juga mendakwa mengenali Aliff sejak sekian lama namun menjalin hubungan romantis dengan penyanyi Sayang Sayang sejak Jan lalu.

Selain Ruhainies, antara individu yang namanya turut terpalit dalam kemelut berkenaan ialah Sophia Albarakbah, Meerqeen, Emma Maembong, Chacha Maembong dan Caprice.

Menurut Mohd Hafiz kemelut yang melibatkan Aliff dan Ruhainies telah dan sedang disiasat oleh pihak berkuasa, maka semua pihak harus menghormati proses tersebut.

Pada masa sama, katanya, Seniman berharap isu rumah tangga Aliff dan isterinya, Bella Astillah, diselesaikan sendiri oleh mereka tanpa dicampuri pihak yang tidak berkenaan.

“Kalau tidak, ia boleh menjejaskan proses tersebut,” katanya.

Pada masa sama Seniman menggesa agar pihak-pihak yang terpalit dengan isu berkenaan membuat laporan kepada serta Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) supaya siasatan boleh dijalankan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS