Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
PDRM terbuka: Ahmad Idham harap tak ada pilih bulu

Ahmad Idham menzahirkan harapannya agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak memilih bulu terhadap pengkarya tempatan tertentu sekiranya ada pihak lain mahu memaparkan kisah dalaman pasukan berkenaan.

Mengakui gembira dengan keterbukaan yang ditunjukkan melalui filem Sheriff: Narko Integriti, pengarah dan pelakon itu berharap agar PDRM terus tekal dengan sikap sekarang.

“Apa yang berlaku pada Sheriff: Narko Integriti - iaitu PDRM bersikap lebih terbuka - membuat saya benar-benar gembira.

“Tapi jangan pula pilih bulu. Jangan seorang (pengarah) saja boleh dapat, manakala dengan orang lain mereka (PDRM) bersikap tertutup pula.

"Konsistensi begini kalau tidak berterusan boleh rosakkan industri kita,” katanya ketika ditemui di jamuan Aidilfitri bersama Yayasan Koreksional Malaysia di Kajang, Selangor semalam.

Ahmad Idham, 50, menambah walaupun gembira dengan perkembangan semasa masih ada ada rasa kecewa dipendamnya.

Hal itu kerana, kata bekas calon Gerakan Tanah Air di kerusi parlimen Port Dickson pada PRU lalu, sebelum ini banyak pantang-larang mengekang pengkarya tempatan.

Katanya tidak mudah mendapatkan 'restu' Bukit Aman jika ada penerbit atau pengarah mahu menzahirkan kisah yang melibatkan pasukan polis.

Penonton suka realiti

Dia juga senada dengan kenyataan pengarah dan pelakon Aziz M Osman yang pernah kehilangan minat untuk menghasilkan kisah kepolisan kerana kekangan yang ada ketika itu.

“Walaupun gembira, saya juga kecewa pasal pada zaman saya nak buat kisah polis, itu tak boleh; ini tak boleh. Nak buat kisah polis makan rasuah tak boleh, nak buat polis jahat atau nak tembak polis pun tidak boleh.

"Matilah kalau nak kerja (buat filem) macam ini.

“Sebab itu saya jadi tidak berminat nak bikin kisah polis lagi sebab ia tak akan jadi realistik - itu ketika era saya,” katanya.

Sheriff: Narko Integriti ialah filem yang mendapat sentuhah Syafiq Yusof sebagai pengarah dan sedang ditayangkan di pawagam tempatan serta Singapura sejak 18 April lalu.

Diterajui Zul Ariffin dan Syafiq Kyle, filem tersebut berkisahkan bagaimana polis mecari ikhtiar untuk menangkap lain yang terkait dengan skandal rasuah.

Untuk rekod bapa Syafiq, Yusof Haslam, merupakan seorang penerbit dan pengarah yang pernah menghasilkan karya kepolisan sama ada di layar lebar atau TV.

Antara karya yang dekat dengan Yusof ialah Gerak Khas dan Roda-Roda Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan kegembiraan Aziz terhadap sikap terbuka PDRM melalui filem Sheriff: Narko Integriti.

Selepas tujuh hari ditayangkan, Sheriff: Narko Integriti berjaya meraih kutipan RM22.1 juta.

Menurut Ahmad Idham keterbukaan PDRM bermaksud khabar baik untuk industri perfileman negara dan secara tidak langsung menarik lebih ramai orang ke pawagam.

“Penonton sukakan realiti, tapi sama ada berlaku atau tidak (gejala rasuah) itu saya tidak pasti, wallahualam," katanya.

Bagaimanapun, pengarah filem Jangan Pandang Belakang itu enggan mengulas secara terperinci ketika ditanya jika sikap baru PDRM itu boleh menyebabkan imej polis rosak.

Katanya, kelulusan diberi PDRM sudah pasti bersebab.

“Saya yakin, jika ada pihak yang mendakwa imej PDRM rosak kerana filem berkenaan, itu hanyalah satu gimik publisiti.

“Jika filem itu ditayangkan, maksudnya ia dah dapat kelulusan PDRM dan juga Lembaga Penapis Filem.

“Jadi, sama ada imej akan tercalar atau tidak, saya tidak boleh komen,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS