Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ruhainies mohon maaf
Diterbitkan:  Apr 26, 2024 12:17 PM
Dikemaskini: 4:17 AM

Selepas sekian lama mendiamkan diri ekoran terkait dengan kontroversi didakwa berkhalwat dengan Aliff Aziz, Ruhainies akhirnya memohon maaf kepada Bella Astillah.

Melalui hantaran di Instagram Story, pelakon itu berkata, dia memilih untuk mengunci mulut sebelum ini bagi mengelak berlaku perkara lebih buruk.

“Saya memilih untuk berdiam diri bukan nak mengeyakan atau menidakkan, tapi dengan niat untuk mengelak pergaduhan di media sosial dan memburukkan lagi keadaan.

“Dengan rendah diri, saya memohon maaf kepada Bella atas segala yang berlaku,” katanya.

Ruhainies, 31, turut meluahkan hasratnya untuk bertemu empat mata dengan isteri Aliff itu agar hubungan persahabatan mereka dapat dijernihkan semula.

“Saya ingin bertemu dengan anda untuk menjernihkan keadaan supaya kita boleh menutup kisah ini dan meneruskan kehidupan serta bergembira semula,” katanya.

Pada masa sama, Ruhainies meminta maaf kepada semua pihak yang turut dihimpit kemelut mereka.

Pelakon itu turut menyatakan keinginannya untuk bertemu seorang wanita yang mendakwa kekasih Aliff, iaitu Sarah Yasmine bagi menyelesaikan isu tersebut.

“Saya juga dengan ikhlas ingin mengundang Sarah Yasmine (wanita didakwa kekasih Aliff) dalam pertemuan kami supaya kita boleh memperbetulkan semula keadaan yang berlaku dan menyelesaikan perkara ini," katanya.

Pada awal Mac lalu Ruhainies dan Aliff ditangkap pihak berkuasa agama kerana disyaki berkhalwat di sebuah kondominium.

Susulan itu, Bella, 30, memfailkan penceraian dipercayai kerana tidak tahan dengan siri kecurangan Aliff. Dalam satu sidang media diadakan, Bella mendakwa dirinya dicurangi Aliff sebanyak 11 kali.

Antara wanita tersebut adalah Sarah. Sarah baru-baru ini memunculkan diri dengan mendakwa dia pernah menumpangkan Aliff di rumahnya selama sebulan.

Wanita itu turut mendakwa terkilan selepas membaca teks pesanan ringkas Ruhainies kepada Aliff yang berbau romantis.

Dia turut mendedahkan perancangan Ruhainies bersama Aliff untuk menjatuhkan Bella melalui tangkap layar kiriman mesej mereka berdua yang dimuat naik di Instagram miliknya semalam.

“Saya sangat berharap Bella dan Sarah akan memberi saya peluang untuk bertemu dengan mereka. Dengan penuh keikhlasan saya ingin memohon maaf sekali lagi atas segala yang berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, menjengah ke Instagram Sarah, wanita itu setakat ini menyatakan keengganannya untuk menerima permohonan maaf berkenaan.

Sarah berkata, dia mempunyai sebab tersendiri mengapa menyekat nombor Ruhainies melalui aplikasi WhatsApp.

“Saya menyekat nombor kamu kerana tidak mahu bercakap lagi dengan kamu. Jadi, please take the hint (tolong ambil petunjuk itu).

“Jadi, kenyataan umum saya terhadap permohonan maaf secara terbuka kamu adalah masih tidak, terima kasih,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS