Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Finas taja caruman SKSPS bagi 4,500 penggiat seni selama setahun

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan menaja 4,500 penggiat seni tanah air di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan caruman RM23.30 bagi setiap orang, menjadikan jumlah keseluruhan tajaan bernilai RM104,850.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata tajaan itu adalah 10 peratus daripada jumlah caruman SKSPS bernilai RM232.80 setahun yang perlu dibayar oleh setiap pencarum bagi skim perlindungan berkenaan.

Beliau berkata inisiatif itu adalah hasil Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Kementerian Komunikasi melalui FINAS bersama Kementerian Sumber Manusia menerusi Perkeso hari ini bagi menyediakan sokongan jaringan keselamatan sosial kepada penggiat seni.

“...jumlah RM232.80 itu untuk setahun, jadi pecah kepada 12 bulan, itulah jumlah yang anda bayar setiap bulan. Untuk tahun ini, 90 peratus dibayar oleh kerajaan manakala 10 peratus lagi oleh FINAS, jadi penerima (penggiat seni) tidak perlu bayar apa-apa (untuk tempoh setahun),” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU itu di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dengan disaksikan oleh Fahmi serta Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi Lembaga Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal dan Pengerusi FINAS Datuk Kamil Othman.

Pada sidang media sama, Sim berkata perluasan kepada pencarum SKSPS untuk penggiat seni menjadikan lebih 400,000 golongan pekerja sendiri telah dicarum yang meliputi pelbagai bidang dan profesion.

Beliau berkata model kerjasama rentas kementerian juga lebih mudah untuk memastikan golongan pekerja sendiri daripada pelbagai bidang dapat mencarum dalam skim perlindungan itu.

“Kita akan melihat kepada model bekerjasama dengan kementerian supaya pekerja bebas juga dapat Perkeso. Tahun lepas, kita telah memberi lebih RM31 juta di bawah SKSPS. Untuk tahun ini, Perkeso setakat ini telah membayar RM7 juta kepada 1,500 pencarum SKSPS,” katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS