Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ditawar upah RM150 sehari, Riezman anggap industri dah rosak

“Industri sudah rosak,” luah pelakon Riezman Khuzaimi berhubung isu bayaran tidak setimpal diberikan terhadap pelakon senior yang seolah-olah tidak akan bernoktah.

Menurut Riezman, sewajarnya semakin meningkat usia seseorang pelakon itu, semakin banyak pengalaman sudah dikutipnya, justeru mereka wajar dihargai dengan bayaran yang setimpal

“Sebenarnya, semakin senior seseorang pelakon, semakin tinggilah bayaran, bukan semakin dicatu.

"Jadi, pada saya jika Azlee Senario menolak tawaran kerana dijanjikan bayaran RM500 sehari adalah wajar.

"Sedangkan dia lagilah (banyak kebolehan), boleh berlakon, menyanyi dan juga melawak.

“Jadi, kita kena hormat (bayar mengikut kebolehan).

"Di luar negara, lagi banyak pengalaman, lagi tinggi bayaran. Itu sebab Jalil Hamid tidak mahu berlakon, Fauziah Nawi juga begitu,” katanya.

Selain Azlee, Riezman, 54, juga mengakui dirinya tidak terlepas daripada menerima nasib yang sama apabila pernah ditawarkan bayaran serendah RM150 sehari.

Dituduh tak reti bersyukur

Sedia menunjukkan bukti, dia berkata, ketika ditawarkan upah serendah itu pihak penerbit tidak pun memaklumkan dengan jelas berapa lama dia perlu bekerja.

"Pengsanlah kalau macam ini.

“Biasanya ikut kadar bayaran saya, sehari RM1,500. Bukan apa, saya ada pengalaman berlakon di Indonesia dan Hong Kong.

“Tapi kalau watak dan karya itu bagus, saya boleh pertimbangkan sekiranya penerbit menawarkan bayaran yang rendah sedikit,” katanya ketika ditemui pada sidang media Kamisempoi yang diadakan di sebuah kompleks beli-belah di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Riezman dilantik sebagai duta untuk agensi Kamisempoi yang membantu hos siaran langsung TikTok di Malaysia bagi menguruskan kerjaya mereka sekali gus menjana pendapatan di platform digital itu.

Baru-baru ini, Azlee mendedahkan bagaimana dia menolak tawaran berlakon kerana dijanjikan upah hanya RM500 sehari.

Dia juga mengakui seronok menjana pendapatan sampingan melalui live di TikTok kerana ia boleh menghasilkan pendapatan lebih lumayan.

Disebabkan menolak bayaran sedemikian, Azlee dituduh bersikap bongkak atau tidak tahu bersyukur sedangkan ramai artis senior lain tidak mendapat tawaran berlakon langsung.

Atas alasan itu jugalah kata Riezman yang juga pelakon Tragedi Oktober itu, untuk setahun dia hanya berlakon satu atau dua filem serta drama saja kerana beranggapan segelintir penerbit mungkin tidak mampu untuk memberikan harga yang diinginkan.

Justeru, apabila ditanya pendapatnya berhubung status industri yang tidak berubah sejak dulu, Riezman lebih gemar menyifatkan ia sebagai “sudah rosak.”

“Bayaran serendah RM150 sehari adalah satu penghinaan. Dalam live di TikTok orang selalu tanya: kenapa lama tidak nampak di televisyen.

“Saya cakap terus-terang, mereka (penerbit) tidak mampu bayar saya. Jadi, lebih baik saya pergi jual burger.

“Satu malam boleh dapat RM300 hingga RM400 daripada RM150 sehari,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS