Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pengarah Mentega Terbang gagal tarik balik perintah larangan

Pengarah Mentega Terbang, Mohd Khairianwar Jailani gagal dalam permohonannya untuk menarik balik perintah larangan terhadap filem berkenaan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pagi ini sebulat suara menolak permohonan untuk membenarkan pengarah filem itu memulakan rayuan bagi membatalkan perintah larangan membabitkan filem kontroversi itu.

Pada 17 Jan lepas, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengenakan perintah larangan itu sebagai sebahagian daripada syarat pembebasan Khairianwar dengan ikat jamin.

Khairianwar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyakiti perasaan agama orang lain.

Tujuh hari kemudian, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakannya untuk mengetepikan perintah larangan berkenaan.

Semasa perbicaraan pagi ini, Ahmad Zaidi Ibrahim yang mempengerusikan panel hakim memutuskan bahawa tiada merit dalam usul Khairianwar untuk kebenaran merayu.

Mewakili hakim Azmi Ariffin dan Noorin Badaruddin, Zaidi berkata pengarah filem itu gagal menunjukkan majistret terkhilaf dalam menggunakan budi bicara untuk mengenakan perintah larangan sebagai sebahagian daripada syarat ikat jamin.

Khairianwar diwakili peguam Zaid Malek, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Parvin Hameedah.

Filem yang diharamkan tahun lalu itu mengisahkan tentang Aishah berusia 15 tahun, yang berminat mempelajari konsep kelahiran semula dalam agama lain selepas kematian ibunya.

Watak bapanya juga ditonjolkan sebagai berfikiran terbuka dan tidak mempunyai masalah apabila anak perempuannya mempelajari kitab suci agama lain untuk mencari jawapan.

Lihat Komen
ADS