Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kerana Covid-19 Fasha Sandha mungkin tak pulang beraya lagi
Diterbitkan:  Apr 13, 2024 3:26 PM
Dikemaskini: 7:26 AM

Kegembiraan pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung bertukar menjadi trauma selepas pelakon Fasha Sandha disahkan dijangkiti Covid-19.

Justeru kata Fasha, dia berkemungkinan memilih untuk tidak lagi beraya di mana-mana kampung lagi pada tahun depan bagi mengelak kejadian sama daripada berulang.

Menurut isteri kepada pelakon Aidil Aziz itu, keputusan itu diambil disebabkan dia enggan mengambil risiko menjangkitkan bahaya virus itu kepada orang tua mahupun kanak-kanak.

“Jangkitan Covid-19 memang boleh sembuh, tapi boleh juga bawa maut kepada orang yang berisiko. Sebab itu saya sangat beremosi.

“Saya sangat trauma atas apa yang terjadi. Apabila di kampung, takkan kita nak duduk diam dalam bilik atau pakai pelitup muka dan sarung tangan.

“Sekarang saya mahu lindungi keluarga dulu daripada jaga hati orang lain. Sakit akibat Covid-19 hanya 10 peratus tapi sakit akibat hati terguris, 90 peratus,” katanya di Instagram hari ini.

Secara sinikal Fasha, 40, menyelar segelintir masyarakat kerana tidak bertanggungjawab mengambil langkah pencegahan penularan virus ketika menyambut perayaan.

“Tolonglah ada sifat tanggungjawab. Lain tahun, kalau sudah tahu awak tidak sihat, duduk diam-diam saja dalam rumah.

“Kerana kamu seorang, saya tidak dapat beraya di Perlis. Keluarga saya masak untuk saya pun tidak dapat makan sebab awak tahu? Pentingkan diri sangat,” katanya.

Semalam, melalui hantaran di media sosial, Fasha, 40, sambil menangis teresak-esak tidak dapat menahan kesedihan memaklumkan keluarganya dijangkiti virus berkenaan selepas beraya di kampung suami, di Rembau, Negeri Sembilan.

Katanya, selepas mula berasa tidak sihat ketika meneruskan perjalanan untuk beraya di kampungnya di Perlis, mereka singgah di sebuah klinik untuk melakukan pemeriksaan.

Menurut pelakon filem Berlari ke Langit itu, dia bersyukur kerana mengambil langkah pencegahan awal sebelum sampai ke Perlis yang rata-ratanya ramai orang tua dan berisiko tinggi.

Pelakon drama Malang Si Puteri itu juga memohon peminat untuk mendoakan dia dan keluarga agar cepat sembuh.

“Apapun, kepada yang mendoakan keluarga kecil saya terima kasih banyak dan Alhamdulillah. Terima kasih, saya hargai semua doa yang baik-baik,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS