Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Fazley enggan lokek pada syarikat kecil bumiputera

“Kalau nak bangunkan rezeki, berikan rezeki pada orang lain supaya rezeki kita murah,” demikian prinsip kolaborasi penyanyi dan cef selebriti Fazley Yaakob yang tidak lokek bekerjasama dengan usahawan kecil bumiputera.

Kata Fazley, dia tidak keberatan menerima syarikat kecil bahkan menjadi duta produk mereka meskipun pengusaha itu masih baru malah belum mengecapi populariti.

“Untuk syarikat bumiputera, kita jangan terlampau menekan.

“Ada konteks bisnes yang berbeza (boleh dilaksanakan).

"Contohnya, mereka tidak buat bayaran sekali gus, tapi berkongsi keuntungan yang diterima, atau mereka bayar saya selepas tolak kos perbelanjaan,” katanya.

Menurut Fazley, 45, sebelum ini dia didatangi sebuah syarikat bumiputera yang pada awalnya tidak mampu untuk membayar sebarang kos upah sebagai duta.

Namun, katanya, atas dasar prinsip sudi berkongsi rezeki, dia menawarkan diri untuk bekerjasama membangunkan syarikat tersebut

“Ayat pertama dinyatakan pada saya ialah: 'Datuk, kami tidak mampu. Kami tak ada duit untuk bayar kepada artis yang dilantik jadi duta.

“Tapi saya kata, mari kita ubah tanggapan tersebut. Saya berikan nama untuk bangunkan syarikat anda.

“Biar saya jadi orang pertama untuk memudahkan kerja kamu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran wangian jenama Pâtissier Pure Parfum di restorannya Suka Sucre, Ampang baru-baru ini.

Cef selebriti itu bekerjasama dengan jenama wangian tempatan ENKÉ untuk menghasilkan haruman tanpa alkohol yang diinspirasikan daripada tiga jenis manisan.

Untuk rekod, setakat ini, Fazley, 45, sudah menjalin kerjasama dengan enam syarikat tempatan.

Bagaimanapun, juara Masterchef Selebriti Malaysia itu tidak menolak kemungkinan ada pihak akan menyatakan bosan apabila melihat wajahnya sering dilantik sebagai duta produk.

Bagi penyanyi Aku Di Hatimu itu, kekerapan dilantik untuk mempromosi sesebuah produk dianggap sebagai rezeki yang tidak putus-putus.

“Apabila jadi cef, saya jadi duta pelbagai produk, bukan makanan semata-mata. Ada jadi duta kanta lekap, air dan makanan kucing.

“Saya seorang yang suka melangkah lebih jauh. Jadi, kalau orang banyak tengok wajah saya, itu juga rezeki anak-anak,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai produk haruman yang diwakilinya, Fazley berkata ia dicipta berdasarkan menu pencuci mulut iaitu macarons, vanilla cream puff, dan lemon meringue pie - yang popular di Suka Sucre sejak ia ditubuhkan 10 tahun lalu.

“Kami antara jenama pertama di Malaysia hasilkan wangian berasaskan makanan malah boleh dibawa solat.

“Sasaran kami khususnya kepada mereka yang mahu mengerjakan umrah dan haji,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS