Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Usahawan baju Melayu terkenal yang kini penerbit filem pendek, El Azman, memohon orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tindakan licik seorang wanita yang mengaku sebagai adiknya.

Kata El Azman, setakat ini individu terbabit sudah memperdaya duit orang ramai hingga RM200,000 dengan memetik namanya dan mendakwa kononnya dia sendiri pekerja Elrah Exclusive.

Menurut pemilik nama sebenar Mohd Hilmi Che Azman itu, wanita terbabit menggunakan modus operandi mencari mangsa untuk direkrut sebagai model serta menawarkan pakej menunaikan umrah bersama duta-duta jenama pakaian berkenaan.

“Disebabkan dia mengaku sebagai adik perempuan saya, orang sampai percaya bulat-bulat dan berikan duit sebanyak itu. Saya mana ada adik perempuan, hanya adik lelaki saja.

“Cara dia ialah menipu orang yang dijumpai sewaktu berjalan dan bertanya sama ada mereka mahu jadi model untuk Elrah Sister ketika kononnya kami sedang cari bakat baru.

"Sebaik saja mangsa bersetuju, penipu itu akan meminta mangsa membayar RM800 sebagai syarat untuk menyertai kami," katanya.

Menuru El Azman, wanita terbabit juga menggunakan pendekatan sama semasa menipu orang ramai atas nama pakej umrah.

Katanya, mangsa akan diminta membayar 'deposit' sebanyak RM1,500 kononnya untuk menyertai pakej umrah bersama Khairy Jamaluddin, Sharnaaz, dan Beto Kusyairy.

Mula-mula susah nak percaya

Menjelaskan lebih lanjut, kata El Azman, 36, sebelum ini wanita terbabit berjaya dijejaki di sebuah hotel di Kelantan namun sempat meloloskan diri.

Justeru, menurutnya, dia bersedia untuk menggunakan saluran undang-undang sebagai langkah awal untuk menjejaki penipu terbabit dan menghentikan kegiatannya.

“Selepas ditangkap di Kota Bharu, dia berjaya melepaskan diri dan tidak ditemui lagi hingga kini,” katanya pada majlis berbuka puasa di sebuah restoran di Bangi kelmarin.

Sebelum ini, El Azman memuat naik satu klip video memaparkan wanita memakai jubah hitam yang mengaku sebagai adiknya dan meminta orang ramai tidak terpedaya.

Untuk rekod, El Azman baru-baru ini hadir dengan filem pendek berjudul Mak - yang diinspirasikan daripada kisah hidupnya.

Mak membariskan pelakon antaranya seperti KJ, Sharnaaz, Beto dan Amir Ahnaf.

Pengasas jenama baju itu juga tidak lama lagi bakal tampil dengan beberapa lagi filem pendek susulan sambutan memberangsangkan terhadap Mak yang ditayangkan di YouTube.

El Azman berkata, dia hanya menyedari perkara itu selepas ramai mangsa mencarinya untuk menuntut wang ganti rugi.

Namun, pada awal katanya, agak sukar untuk dia mempercayai apa yang berlaku sehinggalah mangsa menyerahkan bukti penipuan yang berlaku.

“Memang susah nak percaya mula-mula sebab saya tertanya-tanya macam mana orang ramai dengan mudah boleh beri duit pada wanita itu.

“Kemudian, mereka menyerahkan bukti pemindahan transaksi dilakukan atas nama lain yang mempunyai kaitan dengan wanita terbabit.

Scammer itu juga tawarkan RM40,000 kepada pemenang yang terpilih jadi model,” katanya mengenai mangsa yang rata-rata pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tinggal di kawasan luar bandar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS