Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dapat laba dari TikTok, Azlee: Artis veteran usah malu

“Dalam masa lima minit buat siaran langsung di TikTok, saya pernah dapat RM8,900,” demikian pendedahan pelawak Azlee Senario mengenai pendapatan sampingan yang diraih.

Katanya, ganjaran menggunakan platform itu membuahkan hasil yang tidak disangka-sangka malah ia sedikit-sebanyak membantu untuk melunaskan komitmen bulanannya.

Menurut Azlee, dia tidak membuat siaran secara langsung pada setiap hari sebaliknya menetapkan sasaran untuk mendapatkan jumlah tertentu.

“Sekurang-kurang sehari dapatkan RM500 (hadiah dalam bentuk koin atau gift) tapi kalau lebih itu bonus.

“Jadi, RM500 darabkan dengan sebulan (kira-kira RM15,000), sebab saya keluarkan setiap hujung bulan. Saya anggap ia pendapatan bulanan saya.

“Alhamdulillah setakat ini bayar duit rumah dan kereta, daripada hasil TikTok,” katanya.

Justeru, Azlee atau nama penuhnya Muhammad Azlee Jaafar menyarankan pelakon senior yang lain supaya memanfaatkan platform berkenaan sekiranya tidak lagi mempunyai sumber pendapatan daripada lakonan.

Tak sangka dapat laba

Katanya, amatlah rugi sekiranya golongan artis berusia tidak merebut peluang ketika mereka mempunyai peminat yang masih setia mengikuti perkembangan semasa.

“Kenapa artis lama tidak mahu jadikan TikTok sebagai sumber pendapatan, mereka masih ada peminat yang sudi kongsi rezeki.

“Contoh Datuk Red baru-baru ini kongsikan kehidupan yang susah kerana dia buang rasa malu untuk cari bantuan, akhirnya dia dapat raih pendapatan untuk beraya bersama anak-anak.

“Artis veteran jangan malu dengan zaman digital kerana kita bukan minta sedekah, tapi apa orang bagi itu kita anggap hadiah,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Raikan Yang Dirai Suria FM di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Azlee membuat kemunculan istimewa melalui drama Hari Raya Suria FM yang berjudul, Suami Raya.

Drama Suami Raya yang dijayakan barisan penyampai Suria FM dengan Cik Piah sebagai watak utamanya kini sudah boleh mula ditonton melalui saluran Youtube Suria FM.

Azlee, 56, pada masa sama mengakui dia begitu terharu kerana masih ramai peminat yang menghargai kerjayanya sebagai anak seni.

Menurutnya dia pada awal diperkenalkan dengan TikTok oleh seorang rakan yang cuba membantunya untuk mencari wang tambang pulang.

“Saya sebenar tidak sangka orang akan bagi gift. Ia bermula ketika saya jadi juri untuk sebuah program televisyen.

“Ada rakan cadangkan saya buat live di TikTok untuk cari duit lebih buat tambang, tapi saya mula-mula malas.

“Kawan saya ciptakan akaun dan apabila tengok dalam masa lima minit boleh jana pendapatan tinggi, saya pun teruskan hingga kini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS