Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ubat tahan sakit berlebihan mungkin punca Jaafar bermasalah

Pengambilan ubat penahan sakit dipercayai membuat pelakon veteran, Jaafar Onn, mengalami pendarahan ketika membuang air besar.

Anak angkat Jaafar yang dikenali sebagai Hanif berkata, personaliti itu kini sudah dipindahkan di wad biasa selepas ditempatkan ke tempat kritikal di Hospital Serdang.

“Papa dipindahkan ke wad biasa sekitar pukul 11 pagi tadi. Doktor jelaskan pendarahan mungkin berpunca daripada pengambilan ubat tahan sakit berlebihan untuk jangkitan pada lapisan kulit kaki dia.

“Keadaannya masih lemah dan mukanya pucat. Selepas ini papa akan jalani prosedur mengeluarkan darah terkumpul dalam perut menggunakan tiub yang dimasukkan melalui rongga hidung,” katanya ketika dihubungi.

Semalam Jaafar, 72, dimasukkan ke wad kritikal hospital berkenaan selepas dikesan mengalami pendarahan ketika membuang air besar.

Untuk rekod, ini Jaafar sebelum ini sudah tiga kali mengalami keadaan sama sejak Julai tahun lalu.

Tekanan darah dan bacaan haemoglobin pelakon drama Cili Padi itu juga berada pada tahap rendah.

Sebelum ini Jaafar hadir di majlis berbuka puasa bersama seniman anjuran Persatuan Karyawan Malaysia bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di sebuah hotel di ibu kota minggu lalu.

Kesihatannya sebelum ini dilaporkan semakin merosot akibat masalah pada injap jantung dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda.

Selain itu, Haniff berkata, tekanan darah Jaafar sekitar pagi tadi juga menunjukkan ada peningkatan.

“Namun papa perlu lakukan rawatan memasukkan darah dalam badan untuk menstabilkan bacaan haemoglobin,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS