Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Akmal ajak boikot produk Aliff Syukri pula
Diterbitkan:  Apr 2, 2024 1:38 PM
Dikemaskini: 1:40 PM

Selepas KK Mart, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh kini mengajak orang ramai untuk memboikot produk keluaran syarikat Aliff Syukri pula.

Ia susulan tindakan selebriti dan usahawan kosmetik Aliff Syukri yang mengeluarkan video pendek lagu raya yang dilihat keterlaluan terutama di tengah bulan Ramadan.

"Kalau KK Mart kita boleh boikot, apa lagi produk dia. Setiap tahun ulang perkara yang sama, langsung tak ada perasaan sensitiviti pada rakyat di negara ini.

"Saya mohon pihak kerajaan untuk menyekat video ini dan tindakan undang-undang perlu diambil.

"Saya rasa sudah tiba masanya rakyat mengajar erti sebuah penyesalan pada Aliff dengan kita boikot semua produk yang dijualnya," katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Aliff sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila melancarkan klip video lagu raya dengan diiringi tarian sekumpulan penari lelaki, yang mengundang pelbagai reaksi negatif daripada orang ramai.

Muhamad Akmal Saleh

Ibunya, Rozita Ibrahim juga turut bersuara mengkritik tindakannya, apatah lagi di penghujung Ramadan.

"Apa ada dengan lagu raya...Sepuluh malam terakhir kejar lailatur Qadar kamu lancarkan video lagu bodoh tak berakhlak.

“Mana malu? Mana letak maruah...ambil peluang hidup dan cari kemanisan dan kesungguhan taubat Kri (gelaran untuk Aliff),” katanya.

Susulan itu, Aliff Syukri tampil memohon maaf dan memadam klip video berkenaan di media sosialnya.

Dia juga menjelaskan video tersebut bukan lagu sempena Aidilfitri tahun ini, tetapi hanya gurauan sempena April Fool semalam.

"Lagu raya saya tahun ini tiada pun. Saya saja sakat anda semua. Pada mak dan isteri saya, jangan marah ya," katanya di Instagram.

Akmal turut membangkitkan isu serupa yang ditimbulkan Aliff pada 2022, yang menyebabkan dia dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung video muzik lagu bertajuk Kelepok Raya.

Video Kelepok Raya pada 2022

Sementara itu Akmal berkata, Aliff tidak patut lagi "berdrama" setiap kali menerima kritikan ramai.

"Cukup-cukuplah dengan drama minta maaf dan air mata yang diulang setiap tahun. Kamu nak lihat kemarahan rakyat Malaysia kan? Sila tunggu produk kamu akan diboikot.

"Ini bukan kandungan luar kotak, ini adalah kandungan tiada otak," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS