Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shila utamakan jiwa tenang, kandungan untuk Aidilfitri ini

Enggan kandungan dihimpit implikasi, penyanyi terkenal, Shila Amzah berlapang dada sekiranya dia terpaska menyambut Aidilfitri tidak lama lagi dengan keluarga kecilnya.

Shila berkata, hal itu kerana dia masih belum bersedia untuk bertemu dengan ibu mahupun adik-beradik lain sejak konflik membabitkan penjualan sebuah rumah banglo terkait dengan dirinya pada Okt lalu.

Justeru, menurut penyanyi lagu Jauh Hati itu, bagi memastikan emosinya terkawal sepanjang kehamilan, dia perlu memberi fokus kepada anak yang dikandung hingga selamat dilahirkan Mei ini.

“Saya ambil langkah seperti yang dinasihatkan suami iaitu fokus pada kandungan, jadi saya tidak mahu ada perkara toksik yang boleh mengakibatkan tekanan perasaan.

“Apabila kita mengandung pada usia 30-an, kena sentiasa tenang dan kawal emosi. Saya trauma apabila dengar pengalaman rakan-rakan yang tertekan hingga kandungan tidak menjadi.

“Walaupun mungkin ada yang berkata, sempena bulan baik ini perbaikilah apa yang sepatutnya; sejujurnya hati saya belum bersedia untuk berjumpa,” katanya.

Shila, 33, juga menegaskan kekeruhan yang berlaku dalam keluarganya ekoran isu rumah tersebut setakat ini tidak membaik mahupun bertambah buruk.

Doakan yang baik-baik

Katanya, dia ada berkomunikasi dengan keluarga itu melalui teks pesanan ringkas, namun ia terhad mengikut keperluan tertentu.

“Senario saya dengan keluarga macam itu saja. Tiada penambahbaikan, tidak ada yang lebih buruk. Sudah tentu saya ada cuba berhubung, namun komunikasi itu sangat terhad.

“Tapi saya dapat rasakan, mereka juga hormati keputusan saya untuk fokus pada perkara yang menjadi keutamaan saya sekarang.

“Malah alhamdulillah, sekarang saya jauh lebih tenang,” katanya.

Shila berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana Program Raya Astro 2024 di sebuah hotel di Petaling Jaya baru-baru ini.

Konflik keluarga Shila bermula selepas adik bongsunya, Syada Amzah, memuat naik hantaran mencari rumah sewa selepas mendakwa bakal dihalau dari kediaman yang diduduki bersama ibu mereka.

Kemelut terbabit juga menyebabkan adik lelaki Shila, Amir Shafiq, banyak membuat kenyataan mengenai kakaknya itu.

Shila yang terkenal dengan lagu Patah Seribu Hatiku itu bagaimanapun menafikan menghalau keluarganya malah mempertahankan keputusannya untuk menjual rumah tersebut dalam hantaran balas melalui sesi siaran langsung di Instagram.

Dalam perkongsian sama, penyanyi itu juga mendedahkan dia mula bekerja sejak kecil selain tidak memegang kad bank serta kad pengenalan sehinggalah usianya 28 tahun.

Untuk rekod, Shila, mendirikan rumah tangga dengan Ubai pada 4 Ogos tahun lalu.

Sebelum itu, Shila berkahwin dengan Haris Edraki pada 2018 namun hubungan mereka berakhir dengan penceraian.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Seth Uwais yang kini berusia lima tahun.

Namun, Shila berkata, dia tidak menghalang jika ada antara anggota keluarganya itu berhasrat untuk mengunjungi kediamannya bagi menyambut Aidilfitri.

Katanya, dia “terbuka” menyambut kedatangan mereka sekiranya ditakdirkan bertemu.

“Saya terbuka saja jika ada yang nak datang beraya, tapi nak ada inisiatif sendiri, itu belum lagi.

“Doakan yang baik-baik, saya tahu mungkin ada banyak hikmah atas apa berlaku sebelum ini. Kita tengoklah apa yang akan berlaku pasti berlaku,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS