Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Royalti anak seni: Saman tak buat Freddie melangkah ke belakang

Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) akan terus membela nasib penggiat seni yang terkesan dengan masalah royalti meskipun terpaksa berdepan tindakan saman malu yang difailkan Public Performance Malaysia (PPM) sejak 2021.

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, berkata tindakan undang-undang ke atasnya sedikit pun tidak menghalang dia untuk kekal bersuara lantang isu bayaran royalti yang sudah lebih 24 tahun didepani penggiat industri.

“Saya akan perjuangkan isu ini sampai habis.

"Isu ini sejak dulu berkait rapat membabitkan dua badan pengutip royalti, iaitu Prism Bhd yang sudah tutup, dan RPM (Recording Performers Malaysia Bhd) masih beroperasi.

“Penggiat seni berdaftar bawah Prism tidak menerima satu sen pun (bayaran royalti) selepas operasinya ditutup. Saya mahukan masalah ini selesai dan gabungkan ahli-ahli Prism dengan RPM, itu yang penting.

“Tapi persoalannya, siapa nak buat semua ini? Takkan sampai kita nak ganggu perdana menteri?

"Saya akan bincangkan perkara ini lebih lanjut dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada penggiat seni anjuran Karyawan di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Pada majlis itu, seramai 50 artis yang berdepan masalah kewangan menerima bantuan perayaan berjumlah RM1,000.

Antara penerima bantuan itu ialah Hail Amir, Sazali P Ramlee, Imuda, Norlia Ghani, Umarul Iklim, Ali XPDC, Enot, Jaafar Onn, Margaret Gan, Mak Jah, Zaiton Sameon dan Roslan Saleh.

Pengerusi PPM, Rosmin Hashim, sebelum ini berkata tindakan undang-undang itu diambil kerana Freddie dilihat terus mengeluarkan kenyataan "fitnah" sehingga menjejaskan reputasi mereka sebagai badan pelesenan sah bagi mengutip royalti.

Untuk rekod, atas cadangan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Jabatan Insolvensi Malaysia melantik Rosmin mengetuai PRISM Performers Verification & Claims Committee (PPVCC) dalam menyelesaikan isu royalti membabitkan badan pelesenan berkenaan.

Kata Freddie, dia sedia melawan saman yang dikemukakan dan sedang membuat persiapan bersama peguamnya menjelang perbicaraan pertama mereka Mei ini.

“Ini merupakan tindakan (saman) keempat yang saya terima kerana lantang bersuara masalah royalti.

“Saya tetap lawan demi pertahankan hak bayaran royalti artis yang terkesan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS