Paling Popular
Terkini

Pengacara dan usahawan berpengaruh, Neelofa, akur bahawa dia bukan orang yang layak untuk berbicara soal agama.

Pengakuan itu dibuat susulan kecaman hebat diterimanya kerana memberikan pendapat kepada seorang pemanggil sebuah stesen radio yang mengalami kisah hidup penuh duka apabila ditinggal ibu kandung.

Menegaskan dia bukan seorang ustazah, Neelofa berkata, responnya kepada wanita terbabit hanyalah tindakan lazim yang sering disebutkan dalam al-Quran.

“Saya terkejut apabila diajukan soalan yang berat sebegitu sebenarnya. Sebab saya bukan ustazah atau orang yang layak untuk bercakap soal ini.

“Tapi apabila menyentuh perihal ibu dan bapa, kita tahu darjat mereka sangat tinggi di sisi Allah, jadi susah untuk berdebat.

"Ia sudah terang lagi bersuluh terkandung dalam al-Quran dan dalil yang ada; jangan taati sekiranya ibu bapa cuba mensyirikkan kita, tapi tetaplah berbuat baik pada mereka dengan urusan dunia.

“Apa adik itu lalui, keperitan hidup membesarkan adik-beradik tanpa mak bukan mudah. Alhamdulillah, Allah beri kekuatan.

"Jadi selagi hidup dan sekiranya ibu datang semula, carilah sedikit ruang untuk maafkan dan ambil yang baik,” katanya.

Isteri kepada pendakwah bebas Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Riz itu berkata, dia juga berlapang dada apabila muncul komen yang menuduhnya tidak menitikberatkan kesihatan mental pemanggil berkenaan.

Tak adil terus menghukum

Neelofa berkata, faktor kekangan masa juga menyebabkan dia dan seorang lagi hos yang mengendalikan segmen jam 3 pagi itu - Nabil Ahmad - tidak berkesempatan untuk menghuraikan respons mereka dengan lebih panjang.

“Saya faham apabila ada orang kata, ia tidak menyentuh segala aspek kesihatan mental malah saya tiada empati. Jadi, saya akui kelemahan dan ketidaksempurnaan dalam beri pandangan.

“Saya sedar apa kami cakap pada waktu yang singkat itu juga tidak cukup, ia cuma reaksi spontan saya dalam jawapan.

"Sudah tentu kita tiada masa untuk hurai dari 5 hingga 10 minit untuk satu-satu pemanggil.

“Jadi, saya harapkan dengan jawapan saya pada media, umum dapat memahami apa yang hendak disampaikan,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana Program Raya Astro 2024 di sebuah hotel di Petaling Jaya kelmarin.

Astro selaku syarikat penyiaran dan penstrim bakal memeriahkan Syawal kali ini dengan lebih 180 program istimewa pelbagai genre seperti telefilem, hiburan, drama-drama tempatan berkualiti tinggi, segmen bicara, program realiti dan gaya hidup, rancangan kanak-kanak serta filem blockbuster yang boleh dinikmati bermula malam raya sama ada melalui televisyen, radio dan digital.

Baru-baru ini tular perkongsian sebuah stesen radio di TikTok memaparkan seorang pemanggil mendakwa ditinggalkan ibunya sejak berusia 13 tahun kerana wanita terbabit ingin berkahwin dengan lelaki lain.

Ayahnya pula meninggal dunia tidak berapa lama selepas itu. Justeru dia terpaksa menanggung dua adik-beradik lain tanpa bantuan sesiapa.

Bagaimanapun, selepas bertahun-tahun, wanita terbabit tiba-tiba muncul semula dengan harapan untuk merapatkan semula hubungan ibu-anak yang lama terputus.

Namun, pemanggil terbabit tidak dapat menyambut usaha berkenaan dengan baik serta berasa berat untuk memaafkan ibunya.

Neelofa berkata, adalah tidak adil sekiranya kisah hidup dia pula dinilai hanya berdasarkan pendapat yang diberi kepada pemanggil berkenaan.

Katanya, jangan kerana sebelum ini dia tidak pernah berkongsi kehidupannya, justeru dia dianggap sempurna sedangkan dia berasal dari keluarga yang bercerai-berai.

“Tidak adil untuk seseorang itu terus jatuhkan hukum - tak apalah, hidup dia sempurna, hidup dia tak ada susah.

"Saya tak pernah kongsi kisah mengenai ibu bapa saya. Saya datang dari keluarga yang bercerai.

“Tiada siapa tahu kisah hidup saya dan ibu bapa saya kerana kami tak pernah kongsi. Tapi, ini tidak bererti hidup saya sempurna dan baik-baik saja,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS