Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Gam artis bermasalah sesuai untuk era 80-an, 90-an'

Kementerian Komunikasi mengambil maklum akan cadangan menggam mana-mana artis yang didapati terlibat dalam sebarang salah laku.

Menterinya Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata isu tersebut belum diteliti dengan mendalam buat masa ini.

“Memang dari segi disiplin itu, ia akan ada kesan terutama kepada periuk nasi artis sekiranya mereka melampaui batas.

“Saya ambil maklum dan pihak kementerian semestinya cakna, jadi mungkin kita boleh meneliti beberapa aspek,” katanya ketika ditemui pada Hari Seniman di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Hulu Kelang hari ini.

Beberapa penggiat seni seperti penerbit dan pengarah sebelum ini menggesa tindakan menggantung atau menyenaraihitamkan artis bermasalah moral bagi mengelak nama industri seni negara terus terjejas.

Ia susulan pelakon dan penyanyi Aliff Aziz yang ditangkap atas dakwaan berkhalwat dengan aktres Ruhainies di kondominium mewah miliknya.

Susulan itu, isteri Aliff memfailkan permohonan penceraian dipercayai kerana tidak tahan dengan kontroversi kecurangan suaminya itu.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menjelaskan agak kurang sesuai untuk mengambil tindakan sedemikian yang disifatkannya sudah tidak sesuai mengikut arus peredaran zaman.

Katanya, memang tidak boleh nafikan artis adalah pempengaruh walaupun melakukan sesuatu atau tidak.

“Mungkin kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Jadi, saya harap artis juga boleh meneliti apa yang boleh dinasihatkan kepada rakan artis lain.

“Harapan saya, kita tidak perlulah sampai ke tahap gam seperti kita pernah lihat dulu kerana itu bagi saya tahun 1980-an atau 1990-an sesuai," katanya.

Untuk zaman ini, tambah Fahmi, kerajaan perlu mencari jalan yang lebih murni dan sesuai dengan mengambil kira beberapa insiden yang telah berlaku.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS