Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Stoking hina Islam: Setiap media kena main peranan, kata Fahmi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata semua media memainkan peranan penting untuk menonjolkan laporan yang membantu mengekalkan keharmonian negara.

Mengulas isu stoking dengan kalimah Allah yang mengundang kemarahan pelbagai pihak, menteri itu berkata, tugas tersebut tidak hanya digalas media milik kerajaan seperti Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) semata-mata.

“Harapan saya bukan saja RTM tapi media secara amnya perlu menitikberatkan bagaimana Malaysia sebagai negara majmuk perlu ada sikap saling faham memahami berhubung batas, had antara kaum dan agama," katanya.

Ahli parlimen Lembah Pantai itu berkata demikian ketika ditemui pada Hari Seniman disambut dengan program Imarah Ramadan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Hulu Kelang hari ini

Pada majlis itu, Fahmi menyerahkan sumbagan kepada 50 penggiat industri tanah air merangkumi filem, televisyen, muzik, penulisan serta seni lukis.

Sumbangan itu merupakan hasil kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam (Mapim), Yayasan Felda, Yayasan Angkasawan Negara, Koperasi Al-Najah, Eco Marine Group Bhd dan AHB Holding Bhd.

Pada masa sama Fahmi mengumumkan kerjasama Finas dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui Memorandum Persefahamam yang akan ditandatangani tidak lama lagi.

MOU yang bakal dimeterai itu akan memanfaatkan hampir 5,000 penggiat industri.

Kontroversi tercetus minggu lalu apabila gambar stoking yang tertera perkataan Allah dijual di dua kedai KK Super Mart di Bandar Sunway, Petaling Jaya tular di media sosial.

Susulan kekecohan itu, syarikat rangkaian kedai serbaneka itu mengeluarkan permohonan maaf kepada semua pelanggannya, khususnya masyarakat Islam.

Fahmi sebelum itu ditanya peranan dimainkan RTM bagi memastikan jabatan penyiaran milik kerajaan itu menyumbang kepada usaha mengekang ketegangan antara agama di negara ini.

Kata Fahmi Kementerian Komunikasi tidak mempunyai kapasiti untuk mengambil tindakan sendiri ke atas isu di luar bidang kuasa mereka.

Kuasa secara langsung, katanya, ada pada pihak berkuasa tempatan yang boleh mengambil tindakan ke atas kilang berkenaan.

Selain itu katanya polis sudah membuat siasatan dan mengambil langkah yang sewajarnya ke atas mana-mana pihak yang menyentuh isu tersebut di luar batasan undang-undang.

“Jadi untuk RTM, insya-Allah kita akan teliti.

“Harapan saya sikap boleh disulami masyarakat amnya termasuklah tidak mengambil tindakan di luar batas undang-undang,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS