Paling Popular
Terkini

Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengakui dia sedang gembira menikmati laluan hidupnya yang baru sebagai seorang selebriti ketika ini.

Malah secara berseloroh bekas ketua Pemuda Umno Malaysia itu mengakui dirinya sudah ‘rosak’.

“Ya rosak, memang sudah rosak.

“Apa saya boleh katakan adalah saya memang enjoy dengan kerjaya saya sekarang,” katanya.

Justeru, disebabkan kegembiraan dengan dunia barunya itu juga, Khairy, 48, mengakui hatinya belum tergerak untuknya kembali aktif dalam dunia politik ketika ini.

Selain itu, Khairy juga beranggapan buat masa sekarang dia belum mengetahui hala tuju sebenar langkah politiknya selepas mengambil keputusan untuk berehat dari dunia itu buat sementara waktu.

“Tak ada keperluan untuk saya kembali pada bidang politik sekarang.

“Apa saya boleh tegaskan, saya masih lagi ingin berada di public eye seperti juruhebah mahupun wajah untuk Elrah Exclusive, tapi untuk benar-benar pasti ke mana, itu saya belum tahu lagi,” katanya.

Khairy berkata demikian pada majlis tayangan perdana filem eksklusif Elrah, Mak, sempena ulang tahun ke-10 #wonderful10years di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Khairy dan Shahril juga kini aktif mengendalikan program podcast membincangkan isu-isu semasa

Elrah Exclusive jenama terkemuka dalam industri pakaian menghasilkan filem pendek itu berdasarkan kisah benar ditempuhi pengasasnya, El Azman.

Ia berkisahkan seorang remaja, Hilmi, yang mendambakan kasih sayang ibunya.

Selain Khairy, turut membintangi Mak ialah Sharnaaz Ahmad, Beto Kusyairi, Amir Ahnaf, MK K-Clique, Merqeen, Fadhli Masoot dan Shahril Hamdan yang juga duta Elrah Exclusive.

Untuk rekod, istilah "rosak" dikaitkan dengan Khairy kerana perwatakannya yang dikatakan berubah 180 darjah sejak menyertai Hot FM.

Bagaimanapun, kata Khairy, apa yang ditampilkan sebagai pengacara stesen radio berkenaan memang adalah watak semula jadinya.

Mengulas mengenai pembabitannya sebagai duta Elrah Exclusive, Khairy berkata dia bersetuju menerima tawaran tersebut kerana jenama berkenaan memartabatkan baju Melayu.

Katanya, sebagai penggemar baju Melayu, dia kerap menggayakan pakaian tradisional itu untuk menghadiri sesuatu acara.

“Saya bersetuju sertai kempen ini kerana El Azman seorang usahawan berjaya.

“Saya suka berbaju Melayu bukan untuk majlis rasmi semata-mata tapi pada bila-bila masa.

“‘Mengenai filem bersama keluaran Elrah Exclusive, kalau ada peluang dan rezeki seperti diuar-uarkan oleh El Azman, insya-Allah adalah rezeki saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS