Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kontroversi stoking: Setiap manusia tak lepas dari kesilapan

David Teo menyifatkan setiap manusia tidak akan dapat lari daripada melakukan kesilapan, dan ia turut terpakai pada rangkaian kedai serbaneka KK Super Mart yang terpalit dengan isu stoking memaparkan kalimah Allah.

Justeru penerbit itu menyarankan agar permohonan maaf pengendali KK Super Mart diterima dan isu terbabit tidak dipanjangkan khususnya sempena Ramadan.

“Sebenarnya dalam dunia ini kita tidak boleh nak gerenti (jamin) seseorang manusia itu tidak akan melakukan kesilapan, melainkan Tuhan. Yang bercakap (mengecam) itu pun biasanya buat silap.

“Jadi, takkanlah kita tidak boleh nak memaafkan dia.

"Bagi saya, semua agama mengajar umatnya untuk memaafkan orang lain. Maafkan seseorang juga adalah suatu perbuatan yang baik.

“Sempena bulan suci ini, saya percaya memaafkan orang lain boleh mendatangkan pahala. Memang wajar sesuatu kesalahan itu dihukum sekiranya ada, namun janganlah sampai terlalu keras,” katanya.

Mengambil diri sendiri sebagai contoh, David, 59, berkata sebagai pemilik syarikat Metrowealth International Group (MIG), dia juga berhadapan dengan kesilapan pekerjanya setiap hari.

Menurut penerbit Jangan Pandang Belakang itu, amat sukar untuk dia mengawal mahupun mengelak sebarang kesilapan dilakukan pekerja.

“KK Super Mart ialah syarikat yang besar dengan ribuan pekerja. Pembekal produk mereka juga terlalu banyak untuk dikawal, jadi tidak boleh jamin mereka tak akan buat silap.

“Pekerja saya sekadar puluhan orang saja, itu pun hari-hari ada buat silap walaupun saya sentiasa awasi dengan berhati-hati.

“Jadi takkanlah KK Super Mart tu - dengan pekerja cecah ribuan orang - tidak langsung buat silap. Kesilapan boleh berlaku pada mana-mana orang.

"Apa yang penting, kesilapan itu jangan diulang, kalau ulang itu melampau,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem Cheongsam Merah Darah di sebuah kompleks beli-belah Kuala Lumpur kelmarin.

Hormat agama masing-masing

Naskhah arahan VV Wee itu bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula hari ini.

Cheongsam Merah Darah berkisahkan sekumpulan pekerja pembersihan yang ditugaskan mencuci sebuah banglo usang tapi dihuni oleh roh pendendam.

Isu KK Super Mart mengundang perhatian ramai selain mengundang kemurkaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menitahkan agar tindakan sekeras-kerasnya diambil ke atas pihak didapati bersalah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula meminta agar isu stoking dengan perkataan sensitif itu tidak perlu dipanjangkan walaupun menegaskan perlu ada tindakan tegas diambil.

David berkata, sepanjang 24 tahun bergelumang dalam dunia penerbitan filem, dia mengamalkan resipi yang mengutamakan sikap menghormati agama lain agar perniagaan diusahakannya itu tidak dihimpit kontroversi.

Menurutnya, walaupun berbangsa Cina dan bukan beragama Islam., dia amat mementingkan kesejahteraan pekerja Muslim.

“Nombor satu bagi saya ialah hormat agama masing-masing.

“Dalam pejabat saya setiap hari ada pegawai beragama Islam mulakan hari dengan bacaan doa. Saya juga sediakan surau yang bersih untuk kakitangan Muslim solat dengan selesa.

“Ini tanda hormat saya kepada agama lain. Saya beri peluang untuk pekerja lelaki kerjakan solat Jumaat.

“Untuk bulan puasa pula, saya beri pelepasan sejam lebih awal untuk memudahkan mereka menyediakan atau mencari juadah berbuka,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS