Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shuib akan letak jawatan duta KK Mart jika terbukti salah

Pelawak yang juga duta KK Super Mart, Shuib bersedia melepaskan gelarannya sebagai duta kedai rangkaian serbaneka terbabit atas alasan tidak mahu berkompromi berhubung penjualan stoking memaparkan kalimah Allah.

Shuib yang juga usahawan itu menegaskan, dia tekad dengan keputusan kerana tindakan meletakkan perkataan sensitif pada stoking merupakan penghinaan buat umat dan agama Islam.

“Saya amat terkesan dengan apa yang berlaku.

“Tapi saya sentiasa percaya pada rezeki. Kalau memang ini bukan rezeki saya lagi maka tiadalah. Kalau ada, adalah,” katanya.

Menurut pemilik nama asal Shahmira Muhammad itu, kecuaian hingga menyentuh sensitiviti agama, bangsa dan institusi diraja (3R) tidak seharusnya berlaku dalam mana-mana perniagaan.

Kata Shuib, 39, sensitiviti masyarakat berbilang agama seharusnya terjaga, keharmonian terpelihara selain syarikat perniagaan meningkatkan usaha bagi kawalan kualiti.

“Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku dalam mana-mana bentuk perniagaan atau pun situasi.

“Kita akan marah kerana isu membabitkan kalimah Allah sangat besar. Apa yang berlaku sangat keji,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Indigital Music x FYP Media di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam tadi.

Baru-baru ini, tular di media sosial berhubung kewujudan stokin memaparkan kalimah Allah yang dijual di kedai rangkaian serbaneka, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd.

Pengendali KK Super Mart kemudian memohon maaf susulan video tular penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya. 

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut menzahirkan rasa murka dan dukacita berhubung penjualan stoking bertulis kalimah Allah.

Baginda mahu tindakan "sekeras-kerasnya" diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah berdasarkan siasatan pihak berkuasa. 

Terbaru, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) membatalkan lesen operasi syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd (Xin Jian Chang) iaitu kilang yang dikaitkan sebagai pembekal stokin yang mengandungi kalimah Allah. 

Bagaimanapun, Shuib, enggan mengulas lanjut isu terbabit kerana ia membabitkan perniagaan malah sensitiviti masyarakat.

Katanya, dia juga perlu menunggu hingga siasatan selesai sebelum memutuskan sebarang tindakan lanjut berhubung kontraknya sebagai duta syarikat berkenaan.

“Kalau benar, saya tidak akan sokong, saya tidak akan mengiyakan langsung. Ini tanggungjawab saya sebagai seorang umat Islam.

“Perkara ini masih belum selesai dan siasatan sedang dilakukan.  

“Tapi saya akan berdiri teguh sebagai umat Islam di mana apabila perkara yang tidak betul, salah, dan melanggar peraturan berlaku, saya tidak akan sokong,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS