Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Fasha Sandha sebak terkenang hidup bersama anak yatim

Air mata aktres Fasha Sandha tumpah ketika dia terkenangkan semula pengalaman menetap di rumah anak yatim pada umurnya berusia lima tahun.

Katanya, kehidupan itu bermula selepas ibunya, Hatijah Teh Man, ditugaskan sebagai penjaga di bangunan kebajikan tersebut.

Lebih menghibakan, kata pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan itu, ialah apabila wanita terbabit berdepan kesukaran untuk membesarkan mereka adik-beradik sebagai ibu tunggal.

“Apabila mama jadi penjaga rumah anak yatim, kami adik-beradik turut menetap di situ selama satu setengah tahun.

“Memang bukan mudah untuk mama membesarkan kami kerana ibu tunggal atau janda pada zaman itu sering dipandang skeptikal atau tidak dipandang tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, Fasha mengakui dia kagum kerana ibunya itu tidak pernah gagal menyediakan keperluan asas untuk mereka adik-beradik.

Malah kata pelakon itu, ibunya juga sanggup mengayuh basikal sejauh tiga kilometer semata-mata untuk hantar mereka ke sekolah.

“Tidak pernah kami tak cukup makan. Setiap hari mama juga bekalkan kami donut,” katanya ketika ditemui pada majlis sumbangan kepada anak yatim bersama jenama tekstil Alfaro di Alfaro Mall, Kuala Lumpur semalam.

Pada majlis itu, Fasha selaku duta Alfaro menyampaikan sumbangan sebanyak 1,000 pasang pakaian kepada anak-anak yatim dari seluruh Lembah Klang.

Bagaimanapun, isteri pelakon Aidil Aziz itu menegaskan perkongsiannya bukan bertujuan meraih perhatian mahupun untuk mengundang simpati.

Katanya, pendedahan buat julung kali kepada pemberita itu dilakukan sebagai memberi inspirasi kepada wanita senasib ibunya agar tidak mudah berputus asa menghadapi takdir.

“Saya bersyukur kerana sewaktu saya sendiri jadi ibu tunggal selama tiga tahun, saya tidak lalui kesukaran membesarkan anak seperti yang mama lalui sebab kerjaya yang ada.

“Itu sebab saya sangat galakkan setiap wanita supaya bekerja walaupun menjadi suri rumah.

“Apabila wanita bekerja, mereka jadi kuat dan tidak ditindas,” katanya.

Tambah ibu kepada tiga cahaya mata itu, pengalaman tersebut juga menjadikan dia individu yang sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki.

Mengulas pembabitannya sebagai duta Alfaro, pelakon filem Berlari Ke Langit itu berkata, walaupun sibuk dengan pekerjaan, dia tetap mencuri peluang untuk menyantuni anak-anak yatim berkenaan.

Katanya, dikelilingi anak-anak yatim sekali gus membuatnya mengimbau zaman kanak-kanak.

“Saya sebak melihat wajah dan apabila terkenangkan nasib mereka. Itu sebab saya sanggup datang walaupun sibuk dengan penggambaran.

“Tapi saya gembira kerana jenama seperti Alfaro sudi mengagihkan sumbangan kepada mereka,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS