Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Anwar doakan kesembuhan Ali XPDC
Diterbitkan:  Mar 20, 2024 9:13 PM
Dikemaskini: 1:13 PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim terus memberikan perhatian kepada golongan artis yang kurang bernasib baik atau berdepan ujian hidup.

Kali ini dia menghulurkan sumbangan kepada vokalis kumpulan XPDC, Mohd Ali Ismail, yang menderita masalah paru-paru hingga menyukarkan penanyi itu untuk terus berkarya dalam dunia seni.

Sumbangan itu disampaikan oleh setiausaha politik Anwar, Ahmad Farhan Fauzi, di kediaman penyanyi terbabit di Bandar Salah Tinggi, Selangor semalam.

“Saya mendoakan Ali dikurniakan afiyah serta sentiasa diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga tercinta, insya-Allah,” kata Anwar melalui hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook hari ini.

Anwar berkata dia juga difahamkan kehidupan Mohd Ali sekeluarga hanya bergantung kepada jualan produk maruku yang diusahakan isteri penyanyi berkenaan.

Mohd Ali, 56, dilaporkan pernah terkena serangan angin ahmar ringan dua tahun lalu.

Pemain gitar XPDC Izo memaklumkan kejadian berlaku ketika mereka mahu makan selepas selesai berlatih di studio pemain bass, kumpulan itu, Eddie, di Pandan Indah.

Mohd Ali juga pernah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya selepas mengalami serangan jantung pada Sep 2021.

Ia rentetan insiden melecur 30 peratus pada tangan dan muka ketika dia membakar sampah di rumahnya pada 26 Mac 2020.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS