Pelakon Ayu Raudhah berkata, dia berlapang dada malah tidak gusar mengenai masa depan enam orang anaknya meskipun Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) menamatkan kontrak suaminya, Zaquan Adha.
Katanya, walaupun itu bermakna Zaquan hilang pekerjaan, ia tidak bermaksud suaminya itu langsung tidak menerima sebarang tawaran lain.
“Saya tidak rasa panik apabila Zaquan hilang kerja. Saya orang yang percaya pada rezeki dan takdir Allah. Satu pintu ditutup, banyak pintu lain dibuka.
“Lagipun, kami sudah hidup berumah tangga 13 tahun. Memang dia pemain bola sepak tapi rezekinya bukan dari bola sepak saja.
“Mungkin akan ada rezeki di tempat lain. Gaji besar sebagai pemain bola hanyalah suatu amaun, rezeki tetap rezeki kita,” katanya.
Menurut adik kepada pelakon Rozita Che Wan itu, Zaquan masih mempertimbangkan beberapa tawaran yang diterima sebaik saja kontraknya diumumkan tidak disambung NSFC.
Katanya, Zaquan tidak boleh mengambil keputusan terburu-buru berikutan pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum boleh menyatakan persetujuan.
“Ada orang bagi tawaran sebenarnya. Untuk Zaquan pergi jauh dari keluarga, dia bukan masih muda, bukan hidup seorang, malah kena angkut ramai bersamanya sekali,” katanya berseloroh.
Ambil masa rehat dulu
Ayu berkata demikian pada majlis berbuka puasa anjuran GNI Pharma Sdn Bhd di sebuah hotel, di Kuala Lumpur kelmarin.
Majlis dihadiri 400 orang itu bertujuan meraikan anak yatim, golongan asnaf dan pelajar tahfiz dari sekitar Lembah Klang untuk berbuka puasa bersama selebriti dan asatizah terkenal.
Mengulas lanjut, Ayu, 39, berkata dia juga bersyukur kerana perniagaan Sambal Geprek AR dengan tanda pagar #anakramai secara kecil-kecilan diuruskan bersama suaminya mendapat sambutan ramai.
Katanya, walaupun belum memiliki kedai fizikal, perusahaan itu laris dijual melalui platform TikTok.
“Perniagaan awal bermula sejak perintah kawalan pergerakan apabila saya mula jual nasi ayam geprek dan ketika itu Zaquan bermain dengan pasukan Kedah.
“Apabila berpindah ke Negeri Sembilan, ramai pelanggan tetap bertanyakan nasi ayam geprek itu tapi sebab tinggal jauh akhirnya dapat idea buat sambal untuk jual satu Malaysia.
“Kami baru dua bulan jual sambal tapi jualan di TikTok sudah capai 4,000 botol manakala di luar cecah lebih 6,000 botol,” katanya.
Sementara itu, Zaquan yang juga bekas kapten Harimau Malaya berkata, banyak berlaku salah faham apabila tular video menunjukkan dia menangis sewaktu mengumumkan persaraan baru-baru ini.
Kata pemain bola sepak berusia 36 tahun itu, dia menahan hiba bukan kerana hilang pekerjaan sebaliknya tersentuh dengan perkataan bersara.
“Mungkin ada orang tidak faham... saya menangis bukan kerana kontrak tidak disambung tapi sebab perkataan bersara itu adalah satu ungkapan paling sedih buat semua atlet profesional.
“Saya menangis pasal sayangkan karier bola sepak. Saya percaya rezeki Allah, duduk di rumah pun ada rezeki juga.
"Apabila bukan lagi jadi pemain bola sepak sudah tentu gaji berbeza dan banyak pertimbangan perlu dilakukan mengenai tawaran yang muncul.
“Sekarang saya ambil masa untuk berehat bersama isteri dan anak-anak serta jadi penjual sambal,” katanya.