Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
David Teo pun sokong artis bermasalah diambil tindakan

Isu pelakon bermasalah sudah lama berlegar dalam industri, justeru, penerbit filem, David Teo, menyatakan sokongannya jika ada syarikat produksi mahupun stesen televisyen bertegas untuk mengambil tindakan memboikot.

Bagi David, tindakan disiplin amat wajar dikenakan kepada mereka terutama yang terpalit isu moral agar ia mengajar serta memberi kesedaran untuk tidak mendatangkan masalah kepada mana-mana pihak yang menawarkan pekerjaan.

“Ini bukan masalah yang baru jadi semalam, sudah lama sebenarnya. Cuma ia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Sebab itu saya sokong tindakan memboikot artis bermasalah.

“Ada pelakon apabila sudah popular, mereka lupa diri dan tidak berpijak di bumi nyata.

"Mereka itu ibarat burung terbang terlalu tinggi yang kita kena tembak supaya jatuh ke bumi,” katanya.

Menurut David, dia juga tidak terlepas daripada dihimpit isu pelakon bermasalah sepanjang lebih 20 tahun dia bergelar penerbit.

Takkan guna khidmat lagi

Katanya, dia tidak teragak-agak untuk menggam mana-mana pelakon yang bermasalah bagi mengelakkan pihaknya menanggung kerugian.

“Saya sudah banyak bersabar dengan ramai pelakon bermasalah sejak 24 tahun lalu.

“Ada bermacam-macam perangai saya jumpa. Misalnya yang tidak datang penggambaran dengan alasan membeli-belah atau berniaga di luar negara,” katanya.

David berkata demikian ketika ditemui selepas tayangan filem terbaru ederan Metrowealth International Group, Cheongsam Merah Darah, di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Naskhah arahan VV Wee itu bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula esok.

Cheongsam Merah Darah berkisahkan sekumpulan pekerja pembersihan yang ditugaskan mencuci sebuah banglo usang yang dihuni oleh roh pendendam.

David sebelum itu diminta mengulas mengenai tindakan penerbit drama dan filem, A Aida, yang menggam Ruhainies selepas pelakon terbabit ditangkap khalwat dengan suami Bella Astillah, Aliff Aziz.

A Aida

Aliff dan Ruhainies dibebaskan pada jam 2 petang hari sama selain menunggu tarikh perbicaraan pada suatu tarikh lain.

Bella Astillah kemudian memfailkan permohonan cerai dipercayai susulan kontroversi yang tercetus.

Bagaimanapun, kata David, bagi pihaknya dia sekadar menyenanaraihitamkan pelakon tertentu yang bermasalah tetapi tidak lebih daripada itu.

“Itu saja. Saya tidak akan gunakan khidmat mereka lagi di masa akan datang, tapi saya tidak pengaruh penerbit lain untuk boikot.

"Cuma, harapnya artis berkenaan akan sedar diri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS