Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Yusuf sah warganegara jadi hari terbaik buat Loca B
Diterbitkan:  Mar 20, 2024 10:57 AM
Dikemaskini: 2:57 AM

Akhirnya penyanyi rap Loca B dapat benar-benar menarik nafas lega selepas dia menerima dokumen untuk menjadikan anak sulungnya, Yusuf Alezander, sah sebagai warganegara Malaysia.

Loca beranggapan hari tersebut hari terbaik buatnya dan keluarga selepas lapan tahun menempuh pelbagai onak dan duri untuk mendapatkan hak anaknya sebagai warganegara.

“Ia adalah hari yang baik. Alhamdulillah hari ini (semalam) kami menghadiri Majlis Penyerahan Sijil Kelulusan Kewarganegaraan.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan terima kasih pada semua yang mendoakan.

“Terima kasih kepada @saifnasution_ (Saifuddin Nasution Ismail) dan terima kasih @kementeriandalamnegeri atas kelulusan ini,” katanya di media sosial.

Terdahulu, Loca B atau nama sebenarnya Nabilah Hani Azali meluahkan perasaan syukur apabila menerima panggilan dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang memaklumkan hal berkenaan.

Loca B, 32, juga menyifatkan perkara itu sebagai suatu rahmat sempena Ramadan.

Sebelum ini, penyanyi Wanita Adalah Rakyat itu meluahkan perasaan terkilan apabila terpaksa berdepan kesulitan hasil dasar kerajaan yang dianggap mendiskriminasi hak wanita warganegara Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing dan melahirkan anak mereka di luar negara.

Pada hantaran sama, Loca B berharap agar ibu lain yang memperjuangkan status anak mereka turut mendapat hak sama.

“Di samping itu, terima kasih Family Frontiers Malaysia atas kerja keras tanpa henti.

“Kami berharap semua ibu dan anak yang terlibat mendapat surat kelulusan mereka tidak lama lagi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS