Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Warganegara anak: Loca B akui penantian perit 8 tahun berbaloi
Diterbitkan:  Mar 18, 2024 3:27 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Perjalanan sukar selama lapan tahun perlu ditempuhi akhirnya menjadi suatu penantian berbaloi buat penyanyi rap Loca B apabila anak sulungnya, Yusuf Alexander kini memegang status warganegara Malaysia.

Loca B berkata, dia menerima panggilan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang memaklumkan berita gembira itu.

“Saya pernah kongsi perjalanan sukar untuk mendapatkan kerakyatan bagi anak saya, Yusuf.

“Sekarang saya mahu berkongsi bahawa saya sudah mendapat panggilan JPN. Yusuf jadi warganegara Malaysia.

“Terima kasih kepada semua yang membantu dalam perjalanan ini,” katanya di TikTok.

Pemilik nama sebenar Nabilah Hani Azali itu juga menyifatkan perkara itu sebagai suatu rahmat sempena Ramadan.

Katanya, dia kini tidak lagi perlu berulang-alik ke pejabat kedutaan untuk memperbaharui visa anaknya.

“Alhamdulillah untuk Ramadan kali ini. Tiada lagi lawatan ke kedutaan,” katanya.

Pada 8 Mac lalu, media melaporkan kabinet meluluskan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing.

Yusuf adalah anak sulung Loca B hasil perkahwinan terdahulu yang dilahirkan di United Kingdom dengan lelaki yang tidak didedahkan identitinya.

Loca B kemudian mendedahkan dia sudah berkahwin secara rahsia dengan penyanyi rap, Tuju pada Mac 2020 ketika dalam perintah kawalan pergerakan.

Pasangan itu dikurniakan cahaya mata perempuan, Bintang Aiko, 2.

Malaysiakini sebelum ini pernah melaporkan, Loca B mengeluh gara-gara bergelut untuk mendapatkan status warganegara buat Yusuf hingga ada kalanya dia berasa anak yang dilahirkan itu bukan zuriat sendiri.

Penyanyi lagu Gila itu juga meluahkan rasa terkilan akibat berdepan kesulitan hasil dasar kerajaan yang dianggap mendiskriminasi hak wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warganegara asing dan melahirkan anak mereka di luar negara.

“Ibu-ibu yang berkahwin dengan lelaki bukan warganegara memang terasa seperti didiskriminasi.

“Ketika ini apabila saya perlu turun naik sana sini untuk buktikan bermacam-macam perkara melalui dokumentasi, kadang-kadang saya rasa macam Yusuf ini dah bukan anak sendiri," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS