Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Risteena kongsi tangkap layar mesej rancang buat jamuan makan malam
Diterbitkan:  Mar 15, 2024 9:54 AM
Dikemaskini: 1:54 AM

Kakak Ruhainies, Risteena Munim tampil menyokong kenyataan adiknya malam tadi dengan menunjukkan tangkap layar perbualan mereka berhubung perancangan untuk jamuan makan malam bersama Aliff Aziz pada 8 Mac lalu.

Pelakon itu berkata, dia perlu berbuat demikian bagi membersihkan nama adiknya yang tercemar gara-gara kes ditangkap atas dakwaan berkhalwat dengan Aliff yang juga suami orang itu.

Melalui ruangan Instagram Stories yang dimuat naik malam tadi, Risteena turut mendakwa laporan Ruhainies dan Aliff ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada jam 3 pagi adalah tidak sahih.

“Pukul 11 (malam) Jawi dah sampai di rumah bukan 3 pagi. Yang khilaf tetap khilaf.

“Saya percaya Aliff dan Ruhainies juga sedar sedar tentang khilaf mereka dan telah pun memohon maaf. Siapa kita untuk menghukum mereka.

“Kebetulan malam tersebut memang rancang ke rumah Ruhainies, jadi saya di sini hanya menjelaskan keadaan sebenar sekiranya perkara ini dapat diselamatkan dan tidak menjadi lebih buruk,” katanya.

Risteena, 34, juga mendakwa dia memang terlewat ke rumah adiknya seperti yang dijanjikan ekoran kesesakan lalu lintas.

Bukan setakat itu, pelakon drama Plan B terbabit turut memaklumkan isu kelewatannya juga berpunca disebabkan komitmen kerja.

“Ya saya sepatutnya berada di sana sama-sama tapi terlambat atas komitmen kerja dan kesesakan jalan raya.

“Saya sampai di rumah Ruhainies jam 11.30 malam. Isu 3 pagi Jawi datang ke rumah adalah tidak benar,” katanya.

Malam tadi, Aliff dan Ruhainies akhirnya tampil menjelaskan situasi sebenar selain mendakwa mereka merancang untuk jamuan makan malam bersama serta tiada apa-apa berlaku antara mereka berdua.

Pada 9 Mac lalu, media melaporkan dua pelakon disyaki berkhalwat ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di sebuah kondominium mewah di ibu kota.

Mereka dibebaskan dengan jaminan sekitar jam 2 petang hari sama dan menanti pendakwaan pada satu tarikh yang lain.

Susulan itu, isteri Aliff memfailkan permohonan cerai pada 11 Mac lalu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Untuk rekod Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016.

Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna yang masing-masing berusia tujuh dan empat tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS