Pelakon dan penyanyi Aliff Aziz mendakwa dia bersetuju menerima pelawaan Ruhainies untuk pergi ke kondominiumnya kerana sudah lama tidak berjumpa dengan kakak aktres terbabit.
Malah katanya dia beranggapan ia tidak menjadi suatu kesalahan memandangkan adik-beradik Ruhainies yang lain akan turut serta bagi menikmati jamuan makan malam.
Penyanyi lagu Selayaknya Aku itu turut mendakwa tiada perkara yang tidak sewajarnya berlaku antara dia dan Ruhainies.
“Saya bukan nak menegakkan benang yang basah, saya mohon maaf atas kekhilafan saya, namun tidak ada apa-apa benda berlaku antara kami.
“Ruhainies ada maklumkan, malam itu adik-beradiknya ada merancang untuk makan-makan di rumah jadi, saya rasa tidak ada masalah kalau saya turut serta.
“Saya juga memang kenal dan berkawan dengan kakaknya, Risteena dan sudah lama tidak berjumpa. Jadi, saya rasa ia satu peluang untuk berjumpanya dan adik-beradik lain untuk makan malam,” katanya.
Disebabkan ingin membantu Ruhainies mengangkat peralatan penggambaran, Aliff berkata, dia yang sepatutnya tunggu di lobi sementara Risteena Munim sampai, naik ke rumah aktres terbabit tanpa memikirkan akibatnya.
Malah, penyanyi lagu Selayaknya Aku itu mendakwa tiada apa-apa berlaku antara dia dan Ruhainies sepanjang berada dalam satu rumah yang sama.
Pun begitu, Aliff mengakui dia sudah terlewat untuk menyedari kesalahannya yang dilakukannya itu.
“Cara yang betul adalah kami sepatutnya tunggu di lobi. Tapi, sebab tidak terfikir ia akan bawa ke situasi tidak dijangka, saya naik ke rumahnya.
“Waktu itu, kami sedang menunggu Risteena untuk sampai dan sempat berborak. Tiba-tiba, pintu rumah diketuk.
“Ruhainies yang pada awal menyangka kakaknya sudah sampai terdengar suara lelaki berbual di luar pintu,” katanya.
Terdahulu, Ruhainies mendakwa, kakaknya itu lewat muncul seperti dijanjikan atas alasan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
Ruhainies dan Aliff ditangkap atas dakwaan berkhalwat dalam sebuah kondominium mewah pada 9 Mac lalu.
Isteri Aliff, Bella Astillah memfailkan permohonan perceraian dipercayai kerana tidak tahan dengan episod kecurangan Aliff.
Aliff sebelum ini sering dikaitkan dengan beberapa pelakon wanita gandingannya dalam drama yang dijayakan antaranya Octavia Manrose, Sohphia Albarakbah dan Afifah Nasir.
Ruhainies dalam kenyataan malam tadi juga memaklumkan dia sayangkan Bella dan bersedia bertemu isteri Aliff itu bagi menyelesaikan masalah mereka.
Bagaimanapun, tambah Aliff, sebaik Risteena tiba, aktres itu memaklumkan di luar rumah terdapat Jawi dan pihak berkuasa serta ramai orang dan situasi cemas itu membuatkan mereka bertambah bimbang untuk membuka pintu.
Dakwanya, selepas Risteena berbincang dengan pihak berkuasa dan memastikan tiada individu lain yang tidak sepatutnya di situ, barulah mereka akan membuka pintu.
“Saya hanya berada di dalam rumah, di ruang tamu apabila situasi itu berlaku. Ia memang mengejutkan.
“Mereka sangat profesional dalam menjalankan prosedur. Kami seterusnya hadir ke Jawi dan berikan kenyataan dan selepas itu pulang ke rumah,” katanya yang menyedari kekhilafan itu bukan saja merosakkan reputasi tetapi imej keluarganya.