Selepas hampir tujuh hari mengunci mulut pelakon Ruhainies akhirnya tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan tangkapan khalwat dengan suami orang, Aliff Aziz.
Ruhainies mengakui kekhilafan dia di sisi agama apabila berdua-duaan dengan pelakon dan penyanyi asal Singapura itu hingga menimbulkan syak wasangka yang seharusnya dielakkan.
Malah aktres itu memohon maaf kerana membiarkan perkara tersebut berlarutan hingga menyebabkan beberapa pihak memanipulasi pelbagai fakta.
Ruhainies, 31, mendakwa, kakaknya, Risteena Munim dan adik beradik lain merancang untuk makan malam serta tidur di rumahnya pada hari kejadian.
“Pada hari itu, saya baru selesai menjalani penggambaran dan konvoi bersama pembantu peribadi menuju pulang ke rumah.
“Memandangkan Aliff juga baru selesai menjalani penggambaran, saya jemput dia untuk turut serta kerana dia juga mengenali keluarga serta adik beradik saya sejak 10 tahun lalu.
“Aliff juga bersetuju sebab dah lama tidak berjumpa dengan mereka,” katanya di Instagram sebentar tadi.
Namun, Ruhainies mendakwa, akibat kesesakan lalu lintas, kakaknya lewat tiba di kondominium terbabit.
Justeru, pelakon itu membuat keputusan untuk naik ke rumah bersama Aliff, 33, bagi meletakkan barang keperluan walaupun ketika itu Risteena masih belum muncul.
“Kemudian saya dan Aliff sempat berborak sementara menunggu dan tidak lama kemudian, pintu rumah saya diketuk,” katanya.
Baru-baru ini, Aliff dan Ruhainies dicekup atas dakwaan berkhalwat di sebuah kondominium mewah oleh Jawi.
Mereka dibebaskan dengan jaminan sekitar jam 2 petang hari sama dan menanti pendakwaan pada satu tarikh lain.
Isteri Aliff, Bella Astillah, nekad memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 11 Mac lalu dipercayai susulan kontroversi terbabit.
Ruhainies yang juga pelakon drama Menantu Ting Tong itu bagaimanapun mendakwa dia berasa bimbang untuk membuka pintu atas faktor keselamatan selepas mendengar suara yang memberi ketukan adalah lelaki.
Katanya, dia memberanikan diri untuk membuka pintu selepas pihak berkuasa saja berada di depan pintu.
“Saya ingatkan, itu kakak saya sebab dia cakap, dia dah nak sampai. Saya hubungi semula kakak supaya datang secepat mungkin dan periksa siapa di depan pintu.
“Apabila Risteena sampai, dia sahkan itu adalah Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) dan polis. Saya juga maklumkan bahawa Bella dan pihak media turut berada di depan pintu.
“Jadi, atas faktor keselamatan dan untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku, kakak meminta supaya saya tidak membuka pintu dulu,” katanya.
Ruhainies, juga menegaskan hubungan dia dan penyanyi Sayang Sayang itu adalah tidak lebih daripada sekadar kawan biasa dan mereka bekerjasama dalam satu drama yang dibintangi.
Pada masa sama, Ruhainies berkata, dia sebenarnya begitu menyayangi persahabatan yang dijalin dengan Bella.
Bagi menjernihkan keadaan, pelakon itu berkata, dia bersedia bertemu Bella bagi menyelesaikan isu yang timbul.
“Saya berharap agar dia dan Aliff tidak akan berpisah.
“Saya berharap kenyataan saya ini tidak akan dijadikan bahan provokasi kerana saya tidak ada niat ke arah itu, sebaliknya bersedia menjernihkan keadaan antara kami bertiga.
“Mungkin ada pihak yang akan memilih untuk tidak percaya kepada kenyataan saya. Namun, saya tidak boleh memaksa sesiapa untuk percaya.
“Saya cuma ingin menjelaskan situasi yang berlaku dan kenyataan rasmi dari pihak saya,” katanya.