Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
‘Bella perlu beri keutamaan pada anak-anak’

Sebagai sahabat, pelakon Puteri Sarah Liyana mengakui dia turut terkesan dengan kemelut rumah tangga menghimpit Bella Astillah dan Aliff Aziz.

Justeru, Puteri Sarah menitipkan pesanan agar Bella sentiasa menguatkan semangat demi dua cahaya matanya, Mohd Ayden Adrean dan Ara Adreanna.

“Kita semua turut bersedih atas nasib menimpa Bella. Sebagai kawan baik, saya bagi seratus peratus sokongan.

“Saya juga minta dia tumpukan sepenuh perhatian kepada anak-anaknya kerana merekalah yang akan jadi penguat semangat,” katanya.

Menurut pelakon Sabarlah Duhai Hati itu, ketika ini, Bella, 29, tidak harus memberatkan jiwa dan emosinya dengan perkara tidak mendatangkan faedah.

“Saya harap dia jangan fikir selain itu kerana ia hanya akan menjatuhkan dirinya, ini apa yang saya lakukan ketika melalui proses perceraian dulu,” katanya.

Puteri Sarah berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran syarikat pengurusan, Mask Team di sebuah restoran di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 11 Mac lalu, Bella atau nama penuhnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah memfailkan permohonan perceraian daripada suami, Aliff Aziz di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Peguam Syarie Azmi Mohd Rais mewakili Bella berkata perceraian itu dibuat atas alasan sudah tiada persefahaman dan tiada mawaddah (cinta dan kasih sayang).

Tuntutan itu dipercayai susulan kontroversi Aliff dicekup Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) atas dakwaan berkhalwat dengan aktres Ruhainies di sebuah kondominium baru-baru ini.

Pada masa sama Puteri Sarah mendedahkan, Bella sebelum ini kerap menyembunyikan perasaannya.

Namun dia dapat menghidu sesuatu berlaku disebabkan perubahan fizikal tubuh rakannya itu yang semakin kurus.

“Bella seorang yang sentiasa senyum dan suka sembunyikan masalah tapi dia ada cakap perlukan semangat daripada saya.

“Saya tahu ada sesuatu yang berlaku dan sebagai kawan saya selalu cakap sentiasa ada untuknya bila-bila masa dia perlukan saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS