Akaun Instagram pelakon Bella Astillah dihujani doa dan kata-kata semangat daripada rakan selebriti serta peminat susulan permohonan perceraian daripada suami, Aliff Aziz yang dilaporkan di dada media hari ini.
Mereka yang menitipkan pesanan antaranya berharap agar Bella terus cekal berdepan dugaan hidup yang melanda selepas dicurangi.
Bagi pelakon Sarimah Ibrahim, tindakan Bella membuka ruang untuk dirinya menjalani kehidupan yang membahagiakan.
“Kamu berhak memiliki kebahagiaan dan kehidupan tanpa kerisauan, keraguan dan kebimbangan,” katanya.
Pelakon Shiha Zikir berkata, ramai sayangkan Bella dan mahukan pelakon itu membuat keputusan yang terbaik membabitkan kehidupan dan masa depannya.
“Ramai sayangkan Bella, kamu boleh menempuh dugaan ini. Saya kirimkan kamu kasih sayang dan pelukan,” katanya.
Bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi pula berkata, perancangan Ilahi memiliki hikmah sukar diduga, justeru, dia berharap Tuhan dapat menyembuhkan segala keperitan dialami Bella.
“Allah kata kalau memudaratkan diri sendiri lebih baik pergi. Kak Bella, kamu tahu apa yang terbaik buat diri sendiri. Kami semua sentiasa doakan semoga Allah ubati pedih dan perit hatimu,” katanya.
Pada 11 Mac lalu, Bella atau nama penuhnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah memfailkan perceraian daripada penyanyi Sayang, Sayang itu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Bella memfailkan cerai secara fast track (ekspres) atas alasan antaranya sudah tiada lagi persefahaman dan mawaddah (cinta dan kasih sayang).
Sebutan kali pertama kes itu sepatutnya berlangsung hari ini di mahkamah sama namun kelibat Aliff atau nama penuhnya Mohammad Aliff Aziz tidak kelihatan atas alasan urusan penggambaran.
Kes itu akan disambung perbicaraan pada 4 April ini.
Sejak minggu lalu, rumah tangga Bella dan Aliff meraih kontroversi selepas aktor itu dicekup khalwat bersama pelakon Ruhainies oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium mewah.
Ruhainies bagaimanapun mendakwa hubungan dengan Aliff sejak lebih 10 tahun lalu hanya sebagai kawan dan ketika ini mereka juga sedang menjalani penggambaran sebuah drama bersiri bersama.
Pelakon itu juga menafikan laporan yang menuduh dia dan Aliff membiarkan pihak berkuasa menunggu sehingga tiga jam sebelum membuka pintu sebaliknya menegaskan hanya tiga puluh minit.
Susulan itu, Bella juga menarik diri daripada terus terbabit menjalani penggambaran drama bagi tayangan sebuah platform penstriman yang turut dijayakan Aliff dan Ruhainies.
Ini bukan kali pertama Aliff didakwa berlaku curang terhadap Bella, dia sebelum ini beberapa kali dilaporkan bermain kayu tiga dengan rakan gandingannya dalam beberapa drama.