Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Puteri Balqis menangis kenangkan isu kanak-kanak kahwin lelaki tua

Pelakon remaja, Puteri Balqis, mengakui terkesan setiap kali mengenangkan isu perkahwinan bawah umur membabitkan budak perempuan dengan lelaki berusia lebih tua.

Menurutnya, kanak-kanak memang mudah dipengaruhi untuk berkahwin tanpa asas kukuh malah perkahwinan itu mungkin menimpakan tekanan yang sangat berat kepada kanak-kanak terbabit.

“Ia seperti 'bunga' yang dipetik ketika ia belum mekar lagi.

“Kanak-kanak bukannya tahu apa-apa, jadi ia juga mungkin boleh jadi satu pengalaman yang traumatik sebab mereka sangat gullible (mudah terpedaya).

“Apabila fikirkan soal ini saja saya dah nak nangis. Sebab isu kanak-kanak kahwin di usia muda amat dekat di hati saya,” katanya.

Meskipun pahit untuk ditelan, kata Puteri Balqis, isu kanak-kanak berkahwin bawah umur sebenarnya sering berlaku dalam kalangan masyarakat.

Justeru, menurut pelakon Andainya Takdir itu, isu berkenaan perlu segera ditangani.

“Ini suatu isu sensitif, tapi jarang diperkatakan. Kepada kamu yang terpaksa lalui pengalaman itu, saya sayang kamu semua.

“Kamu ada jiwa yang boleh mekar lebih hebat, kuatkan hati,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri terbaru lakonannya melalui Viu Original, Terlanjur Cinta di Rumah Agam, Sungai Penchala, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Terlanjur Cinta berkisahkan Aishah - yang dijayakan Puteri Balqis - mahu mengubah nasib keluarganya yang miskin dengan mengahwini seorang duda tua, Pak Majid (Khir Rahman).

Aishah berbuat demikian demi menyelamatkan abangnya, seorang penagih dadah bernama Salleh (Syafie Naswip) daripada hukuman penjara.

Keputusan itu juga menyebabkan Aishah terpaksa melupakan perasaannya terhadap Amir (Syafiq Kyle).

Namun, Aishah tidak menyangka tindakannya langsung tidak menjanjikan kebahagiaan.

Takdir yang menyakitkan

Bagi naskhah itu, Izuan Mokhtar bertindak selaku pengarah manakala skrip ditulis Erma Fatima. Drama romantik tersebut dijadual bermula tayangan esok.

Meskipun menyedari wujud stereotaip negatif terhadap wanita muda mengahwini lelaki jauh lebih berusia, Puteri Balqis memohon agar penonton tidak cepat menghakimi watak Aishah yang dilakonannya itu.

Menurutnya ada nilai pengorbanan yang tinggi terpaksa dilakukan Aishah demi mengubah nasib keluarganya yang miskin.

“Jangan bicara soal remaja itu yang berkahwin dengan lelaki tua, tapi bincangkan sejauh mana pengorbanan dilakukan watak itu. Ia kisah kekeluargaan yang boleh dikaitkan dengan ramai orang.

“Ia bermula daripada mengorbankan cinta sendiri pada orang yang dia sayang, jasanya sebagai anak dan adik yang ingin membantu abangnya," kata pelakon berusia 16 tahun itu.

Dia juga memberitahu, ketika kali pertama membaca skrip drama berkenaan pun air matanya sudah mengalir.

"Aishah percaya abangnya boleh berubah. Takdir Aishah terlampau menyakitkan.

"Sepatutnya pada usia 17 tahun, seseorang remaja tak patut melalui semua itu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS