Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Isteri, ibu berkerjaya mampu berjaya dengan sokongan suami

Penyanyi Ernie Zakri berkata, untuk mencapai keseimbangan antara tuntutan bekerja dan tanggungjawab kepada keluarga, cabaran itu boleh jadi berat untuk dipikul.

Kata Ernie, pada hakikatnya peranan wanita bukan saja mengurus rumah tangga bahkan signifikan sebagai penyumbang ekonomi dalam keluarga.

“Fungsi wanita amat penting, tanggungjawab mereka juga sangat besar terutama mereka yang perlu bekerja dan pada masa sama menggalas peranan ibu.

“Justeru, kita perlu giat usaha pemerkasaan wanita. Ini kerana pemerkasaan wanita juga bermula dari rumah,” katanya selepas program Wacana Srikandi sempena Hari Wanita Sedunia di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Bagi Ernie, peranan lelaki dan wanita sememangnya adalah untuk saling melengkapi dalam setiap rumah.

Sebagai isteri, katanya lagi, dia juga tidak mungkin mampu melaksanakan kedua-dua tugas dengan baik sekiranya dilakukan tanpa kerjasama suami.

“Kalau di luar saya tampil sebagai Ernie Zakri, manakala di rumah pula sebagai ibu dan isteri. Pada saya tugas itu bukan mudah.

“Saya tak mampu galas perihal rumah tangga seorang diri tanpa bantuan suami.

"Sejujurnya, saya kuat sebab peranan dimainkan suami yang adil di rumah, kalau tidak, pasti prestasi saya juga berkurangan.

“Saya berdiri di tahap ini dan diizinkan melakukan perkara yang saya suka (menyanyi) adalah hasil restu suami. Faktor utama kejayaan saya juga adalah daripada keizinan suami,” katanya.

Wanita insan istimewa

Program Wacana Srikandi itu disempurnakan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat , Nancy Shukri.

Untuk rekod, Hari Wanita Antarabangsa disambut pada 8 Mac setiap tahun bagi mengiktiraf pencapaian wanita dalam pelbagai bidang serta memperjuangkan hak golongan berkenaan.

Majlis yang julung kali dianjurkan SACC Convec Sdn Bhd itu menampilkan tiga usahawan berjaya iaitu Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Chatime Malaysia, Aleena Zailan; Ketua Pegawai Eksekutif Avenys Malaysia Sdn Bhd, dan Penerima Anugerah Pesona Wanita Inspirasi Johor, Masitah Mohd Affandy.

Mengulas lanjut, Ernie berkata, untuk memastikan dia boleh menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin untuk keluarga, golongan wanita juga perlu menjaga kesihatan diri.

“Saya baru dua tahun lebih bergelar ibu, tapi saya tahu tugas seorang isteri jadi lebih mencabar selepas mereka melahirkan anak.

“Maka carilah masa, kalau ingin ada me time, pergi ke spa misalnya. Memang penat jadi ibu, tapi membesarkan anak adalah satu pengalaman yang berbaloi,” katanya.

Pasangan Ernie Zakrie dan Syamil

Ernie dan Syamel yang juga penyanyi mendirikan rumah tangga 26 Mac 2021.

Hasil perkongsian hidup, pasangan terbabit dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Khawla Soleha, yang kini berusia dua tahun.

Sementara itu, Syamel memuji kehebatan golongan wanita kerana mereka boleh melakukan banyak perkara pada satu-satu masa (multitasking).

Namun katanya, jangan sesekali ambil kesempatan terhadap isteri malah mereka perlu memainkan peranan menguruskan rumah tangga.

“Wanita ini insan istimewa, mereka selalu tahu apa nak dibuat, ini lumrah kerana wanita mempunyai kebolehan untuk multitasking.

“Tapi kita tahu ada beberapa faktor boleh mendatangkan punca stress kepada mereka misalnya dalam menguruskan anak.

“Di sini suami boleh memainkan peranan mereka.

"Kalau boleh, berkomunikasilah dengan baik, jangan perkara remeh pun disimpan dalam hati,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS