MALAYSIANSKINI | Ini adalah sebuah kisah yang menggabungkan cerita rakyat dengan kisah moden, berlatar belakang keindahan alam utara Borneo dan irama tradisional Dusun yang memukau.
Bertajuk Ballad of the Half-Boy, ia filem terbaru karya Nadira Ilana, 37, dan satu lagi usaha anak kelahiran Kota Kinabalu itu dalam menyatakan rasa cinta terhadap kampung halamannya.
Walaupun jelas berbeza nada, filem ini berkongsi motivasi yang sama dengan filem pertamanya, The Silent Riot (2012), yang dengan berani "membedah" rusuhan politik di Sabah selepas kemenangan PBS dalam pilihan raya negeri 1986.
Kedua-dua karya ini berhasrat untuk mempersembahkan Sabah secara sebenar kepada dunia, terutama kepada orang Malaysia di Semenanjung.
Ini kerana Nadira merasakan perwakilan orang Borneo tidak memuaskan di dalam media, dari media dan juga dalam industri kreatif.
“Saya telah berada dalam industri selama 12 tahun namun (orang dalam industri) lebih memilih orang Semenanjung untuk bercerita tentang Borneo berbanding seseorang seperti saya,” kata Nadira yang pernah menjadi ahli panel penasihat Filem Nasional (Finas), mewakili Sabah dan pengarah filem muda.
Sebagai orang Malaysia Timur pertama yang memenangi geran Justin Louis Freedom Film Fest untuk The Silent Riot, Nadira berkata dia terpaksa berpindah ke Kuala Lumpur untuk membuka jalan bagi dirinya.
Dia mendapati dirinya terpaksa bergelut untuk representasi yang lebih baik bagi budaya dan bakat dari Malaysia Timur dalam filem dan iklan, termasuk sebagai sebahagian daripada panel penasihat Finas.
Ironinya, katanya lagi, bakat dari Malaysia Timur terpaksa bersusah payah bersaing walau untuk mendapatkan peranan orang Sabah dan Sarawak dalam iklan perayaan Gawai dan Kaamatan.
Katanya, bakat dari Semenanjung cenderung dipilih berbanding orang Malaysia Timur, yang sukar mendapat peluang untuk mengembangkan lagi kemahiran mereka ekoran peluang yang terhad di Sabah dan Sarawak.
Malah di belakang tabir, Nadira berkata dia diminta untuk bertutur dalam nada Semenanjung dan usaha untuk menjadi lebih inklusif biasanya hanya melibatkan kaum-kaum utama, tanpa mengambil kira kepelbagaian identiti orang Malaysia Timur.
Sabah memiliki 33 kumpulan etnik berbeza dengan Kadazandusun sebagai etnik terbesar. Sarawak pula ada 27 kumpulan etnik dengan Iban sebagai yang paling dominan, menurut kerajaan Sarawak.
Namun di kaca mata orang semanjung, dia berkata kepelbagaian itu disempitkan kepada satu kotak - "Sabah Sarawak" - untuk diletak bersebelahan dengan etnik utama di Semenanjung seperti Melayu, Cina atau India.
"Kami bukan satu kaum dan oleh sebab itu, idea saya tentang Malaysia tidak semestinya selari dengan idea mereka," katanya.
'Jangan tunggu ahli politik untuk selamatkan kita'
Bagaimanapun Nadira tidak terkejut akan kurangnya kesedaran mahupun pengetahuan tentang budaya dan sejarah Sabah.
Dia sendiri hanya tahu tentang pergolakan politik yang menggoncangkan negerinya setahun sebelum menghasilkan dokumentarinya, menerusi perbualan secara kebetulan dengan bapanya.
Perbualan itu menjadi pencetus untuk The Silent Riot.
"Perbualan itu mengubah dunia saya," katanya, mengimbas kembali saat dia menjalankan penyelidikan untuk filem tersebut.
"Walau dididik dengan semangat patriotisme dengan lagu-lagu dan kenangan saat perhimpunan sekolah, jelas (daripada penyelidikan saya) bahawa kerajaan persekutuan ketika itu tidak begitu suka kepada kami.
“Saya hanya belajar tentang rusuhan yang menggoncang Sabah setelah tamat pengajian universiti kerana ia tidak dimasukkan dalam buku sejarah kita," kata Nadira yang melanjutkan pengajian dalam bidang filem di Australia dan Amerika Syarikat.
Nadira masih ingat bagaimana rakan-rakannya, setelah menonton filem itu, mengaku yang mereka tidak pernah tahu Sabah mempunyai sejarah yang begitu signifikan.
"Seni boleh mempengaruhi perspektif dan mencetuskan arus perubahan dalam masyarakat dan artis Malaysia perlu lebih politikal, seperti artis Indonesia dan Filipina.
"Jika kita tidak politikal, maka sebagai artis kita tidak menyentuh hal-hal yang berlaku terhadap masyarakat dalam kehidupan seharian mereka.
“Ahli politik boleh mengubah dasar tetapi artis memiliki potensi untuk memberi impak kepada individu secara emosi dan dengan lebih mendalam dan mengilhami jiwa. Jadi mungkin suatu hari nanti, orang akan sedar yang kita tidak perlukan ahli politik untuk datang selamatkan kita," katanya.
'Inspirasi dari kawan yang mati dalam tahanan'
Dengan 40 karya selepas The Silent Riots ditayangkan 12 tahun lalu, agak mengejutkan apabila Nadira menyatakan Ballad of the Half-Boy - dijangka akan ditayangkan tahun ini - telah bermula sebelum dokumentari itu.
Malah, skrip Ballad of the Half-Boy mula ditulis 13 tahun lalu, dan draf pertama itu membolehkan dia diterima ke program Script Station Berlinale Talent Campus ketika dia semuda 25 tahun.
Bagi memperkemas karya itu bagi menghormati jalinan budaya, Nadira membawa skripnya ke SEA Film Lab International Film Festival, Talent Lab Luang Prabang Film Fest dan di First Cut Lab di Filipina.
Filem itu meneroka cabaran yang dihadapi anak muda di Sabah, dan memaparkan kurangnya peluang untuk generasi muda yang pada masa sama bergelut dengan trauma merasakan mereka "tidak dipandang", yang diwarisi dari generasi terdahulu
“Semasa remaja, saya menyaksikan rakan-rakan lelaki saya dipenjara, ada yang dipenjara berulang kali. Ia membuatkan saya keliru dan tertanya-tanya mengapa ia terus terjadi.
“Di Sabah, terutama kaum lelaki, mereka bergelut dengan perasaan tidak dipandang atau didengar, hidup dalam bayangan generasi sebelum mereka.
"Saya mula menulis skrip ini lama dahulu, ketika kawan saya mati dalam tahanan juvana. Banyak sisi dalam hidupnya yang menjadi ilham skrip ini," katanya.
Kisah budak separuh badan
Dalam filem itu, Nadira menggabungkan kesukaran dihadapi ramai anak muda Sabah pada masa ini dengan cerita rakyat Kadazandusun yang diceritakan ibunya - orang Dusun - mengenai tradisi kampungnya apabila berlaku gerhana.
“Apabila saya dengar cerita itu daripada mak saya, saya rasa ia satu cerita penemuan diri yang hebat dan sejak itu saya mula merangka skrip ini," katanya.
Menurut tradisi itu, penduduk kampung takut dengan makhluk dikenali sebagai 'Tarob' dan akan memukul gong agar dijauhkan darinya. Makhluk ini terkenal dengan sifat rakus dan akan memuntahkan matahari atau bulan yang sedang dalam gerhana, secara tidak sengaja akan menunaikan apa yang dihajati.
Cerita rakyat ini disatukan dengan kisah 'budak separuh badan”, yang dilahirkan oleh pasangan berumur yang begitu mengiginkan seorang anak sehingga sanggup menerima walau separuh.
Perjalanan 'budak separuh badan' ke arah penemuan diri membawanya ke separuh lagi dirinya. Kedua-duanya bergaduh sepanjang malam, hanya untuk menjadi satu dan lengkap menjelang fajar.
"Ia cerita di dalam cerita, dengan cerita rakyat budak separuh badan dan cerita tradisi yang menarik, diadunkan dengan hal-hal zaman moden."
Belajar bercakap Dusun
Persediaan yang dilakukan Nadira bukanlah dalam soal skrip sahaja.
“Saya bekerja di Kuala Lumpur tetapi apabila saya ada dana, saya akan pulang ke Sabah untuk menghasilkan dokumentari yang membolehkan saya belajar budaya saya dan bahasa Dusun,” katanya.
Ia membantu Nadira untuk mengarah pelakon-pelakonnya - kesemuanya etnik Dusun - dalam bahasa mereka sendiri.
“Pelakon-pelakon saya memahami yang setiap kami berbeza pengetahuan dan minat terhadap budaya kami.
“Kami saling menyokong, jika ada yang tidak tahu sesuatu, kami boleh meminta bantuan daripada yang lain," katanya yang juga mengarah dan menerbitkan Ballad of the Half-Boy.
Pastinya kisah yang begitu mengakar dalam budaya tempatan perlu diterajui dan diceritakan oleh pengarah dari Sabah bersama-sama pelakon dan kru tempatan, dengan seluruh penggambaran di Malaysia Timur.
Hanya beberapa tahun lalu, kejayaan melakukannya sahaja sudah menjadi sesuatu cukup membanggakan, kata Nadira.
Menurutnya, industri filem di Sabah jauh ketinggalan kerana tiada banyak pekerjaan dalam industri kreatif di sana, memaksa ramai bakat untuk berhijrah.
Jurangnya sangat ketara, katanya, sehingga kali pertama dia menggunakan set skrin monitor adalah pada 2017, sedangkan set yang sama telah digunakan di Semenanjung sejak era 2000-an.
Nadira mengakui yang Finas cuba meningkatkan peluang bagi orang Malaysia Timur, tapi industri kreatif perlu membuat lebih lagi pelaburan dalam pasaran itu.
“Orang yang bekerja dalam industri filem di Sabah perlukan masa untuk mengembangkan bakat mereka tetapi tiada sumber atau peluang pekerjaan yang boleh berikan pengalaman.
“Pekerjaan dalam industri kreatif yang terhad di Malaysia Timur menyukarkan orang untuk menjadi pakar.
"Selama 10 tahun bekerja di Kuala Lumpur, tempat di mana kalangan profesional yang terbaik bekerja, amat penting untuk saya mengawal jangkaan kerana peluang tidak dikongsi bersama orang Malaysia Timur dan itu jadikan mereka ketinggalan," katanya lagi.
Atas sebab itulah, dan juga banyak sebab lagi, melihat dirinya dan cerita masyarakatnya dalam Ballad of the Half-Boy di layar perak adalah sesuatu yang cukup bermakna.
"Memang menjadi impian saya untuk melihat cerita rakyat Sabah atau Kadazandusun ditayangkan di panggung wayang, dan untuk membuatkan orang Sabah rasa dilihat dan diperakui menerusi cerita-cerita ini," katanya lagi.
MALAYSIANSKINI adalah siri artikel mengenai rakyat Malaysia yang memberi inspirasi.
Pada bulan Mac, kami akan menyiarkan wawancara dengan para wanita terkemuka di Malaysia, melalui siri Wanita Di Hadapan sempena Hari Wanita Antarabangsa.
Baca: Rezeki berganda: Bagaimana pinjaman RM5,000 ubah hidup wanita