Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shaheizy cadang hadkan tempoh kerja pelakon, kru 12 jam sehari

Enggan lagi menempuh pengalaman perit beraksi lebih 20 jam sehari, Shaheizy Sam menyarankan agar waktu bekerja untuk pelakon dan kru produksi dihadkan kepada maksimum 12 jam saja.

Aktor itu berkata, dengan penetapan tersebut sesebuah syarikat produksi boleh merancang kerja-kerja penggambaran dengan lebih cekap, sekali gus dapat mengelakkan pembaziran waktu dan tenaga.

“Saya rasa kalau ditetapkan 12 jam sehari, masing-masing akan buat kerja dengan lebih efisien dan sistematik.

“Kalau waktu pekerja lain biasanya lapan jam. Mereka masuk pejabat terus bekerja, tapi untuk pelakon dan kru ia berbeza sebab kami di tempat (berbeza), perlu masa untuk set up.

"Sebab itu saya rasa 12 jam sehari sudah berpatutan,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Shaheizy Sam yang juga penerbit itu, apa yang dicadangkannya bukanlah satu bentuk tuntutan.

Sebaliknya kata pelakon filem 8 Jam itu, dia hanya menyuarakan keperluan asas kepada pelakon mahupun kru produksi agar dapat memberi fokus sepanjang tempoh menjalani penggambaran.

“Saya sendiri apabila tanda tangan kontrak akan letak tempoh maksimum bekerja hanya 12 jam sehari saja.

“Kadang-kadang orang lain rasa ini demand pelakon semata-mata, tapi kena ingat, pelakon perlu gunakan mental, fizikal dan juga emosi.

“Ketiga-tiga faktor ini tidak akan berjalan lancar sekiranya seseorang pelakon itu kepenatan,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana Ramadan Astro di sebuah hotel di Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kerja boleh siap cepat dilengahkan

Pada 1 Feb lalu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan agensi itu akan melaksanakan kontrak standard melibatkan kru, pelakon dan penerbit yang mengandungi klausa terperinci berhubung isu kerja lebih masa tahun ini.

Ketua pegawai eksekutifnya, Azmir Saifuddin Mutalib, berkata standard itu bertujuan menyelesaikan isu kerja lebih masa dan perkara berbangkit lain yang berkaitan dengan kebajikan pekerja di belakang tabir.

Tambah Shaheizy Sam, 41, penetapan tempoh yang digariskan juga bertujuan mengelak tenaga pekerja bersikap sambil lewa ketika melaksanakan tugas masing-masing.

“Segelintir pekerja kadang-kadang ambil ringan kalau mereka tahu ada masa sepanjang hari, sama ada mereka tidak merancang dengan teliti, atau sengaja melengah-lengahkan tugas yang sepatutnya boleh disiapkan pada hari berkenaan.

“Apabila kerja tidak dilakukan secara serius dan komited, hal sedemikian yang boleh memanjangkan waktu penggambaran.

"Sepatutnya 12 jam boleh diselesaikan tapi berlanjutan 15 hingga 25 jam. Itu apa yang saya sendiri pernah lalui,” katanya.

Sementara itu, berkongsi mengenai karier lakonannya, suami kepada Syatilla Melvin itu berkata, dia bertekad menerima tawaran membintangi Takdir Itu Milik Aku - karya adaptasi novelis terkenal Siti Rosmizah - walaupun selepas lapan tahun tidak bergelumang dalam dunia drama bersiri.

Menurut Shaheizy, drama yang sedang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat di Astro Ria itu menuntut dia membawa watak suami yang kasar dan tidak beradab.

Justeru, disebabkan bertahun-tahun tidak membabitkan diri dalam mana-mana penggambaran drama dan perlu bermain banyak emosi, hal itu membuatkan dia sedikit kekok di set.

“Semua berjalan lancar walaupun saya terpaksa cuba serasikan diri semula dari segi energi kerana waktu bekerja berubah selepas lama tidak berlakon drama.

“Saya perlu hidupkan watak yang menuntut kekuatan emosi tinggi seperti rasa marah, hingga takut untuk membenarkan anak-anak menonton drama berkenaan agar mereka tidak terpengaruh dengan karakter saya.

“Walaupun sekadar berlakon, orang dewasa pun boleh terpengaruh apatah lagi kanak-kanak,” katanya.

Selain Shaheizy, drama bersiri arahan Feroz Kader itu turut dibarisi Emma Maembong, Liza Abdullah, Jasmin Hamid, Fauziah Nawi, Riz Amin, Shakilla Khoriri dan Radhi Khalid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS