Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tyzo umum sertai Ikimfm
Diterbitkan:  Mar 4, 2024 11:59 PM
Dikemaskini: 3:59 PM

Teka teki stesen radio pilihan DJ Tyzo akhirnya terjawab apabila beliau mengumumkan menyertai Ikimfm sebagai penyampai segmen Inspirasi pagi radio Islami no.1 Malaysia ini di Putrajaya hari ini.

Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zolqarnain Idris mengumumkan untuk menyertai Ikimfm bermula 11 Mac ini sekaligus menamatkan teka-teki stesen radio pilihannya selama hari ini.

Tyzo berkongsi berita gembira itu ketika ditemui di Majlis Penjenamaan Semula dan Pelancaran Logo Ikimfm serta tagline yang baru, Inspirasi Utama Anda di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya.

Pemenang Penyampai Radio Terbaik di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-35 ini berkata dia sudah cukup bersedia untuk tampil sebagai penyampai di Ikimfm dengan membawakan sisi yang berbeza yang tidak pernah ditonjolkan sebelum ini ketika beliau bertugas di stesen-stesen radio lain.

“Walaupun Ikimfm mengetengahkan genre sedikit berbeza daripada stesen-stesen radio yang pernah saya bertugas sebelum ini, namun pengalaman 21 tahun di dalam dunia penyiaran radio ini memberi keyakinan kepada saya untuk berikan yang terbaik kepada pendengar.” Katanya ketika ditemui di Putrajaya hari ini.

Tyzo percaya dengan setiap yang pernah berlaku dalam hidup beliau telah menjadikan beliau penyampai radio yang lebih matang dan lebih memandang ke hadapan bukan hanya untuk kerjaya malah untuk perjalanan kehidupannya juga.

“Saya berharap peluang saya berada di Ikimfm ini akan menaikkan martabat Ikimfm bukan sekadar radio untuk didengari oleh umat Islam sahaja tetapi akan menjadi radio rujukan utama semua lapisan pendengar di Malaysia. Sudah tiba masanya untuk saya menyumbang kelebihan bakat dan kemahiran yang saya ada untuk agama dan negara,” ujar beliau mengakhiri temubual.

Menurut Pengarah Pusat Media Ikim, Ahmad Fuad bin Mat Ali beberapa siri perbincangan dengan pihak Tyzo telah dibuat sebelum ini untuk mencari titik persefahaman dan kerjasama jangka panjang melibatkan Ikimfm dan tvIkim bagi merancakkan lagi dunia dakwah dan hiburan Islami yang ketika ini memerlukan sentuhan dan pendekatan yang lebih kontemporari dan inklusif bagi menyampaikan kefahaman Islam yang sebenar kepada pelbagai golongan masyarakat Islam dan bukan Islam.

Semoga Tyzo terus terbang tinggi dalam kerjaya yang telah sebati dalam dirinya ini, kata Ikim.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS