Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
AJL: TV3 terbuka bincang rasa tak puas hati komposer, penyanyi

TV3 terbuka untuk berbincang atau membuat penambahbaikan agar penganjuran Anugerah Juara Lagu (AJL) pada masa depan terus kekal relevan.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Prima Television Networks (MPTN) dan Primeworks Studios Sdn Bhd, Nini Yusof, berkata pihaknya menganggap setiap polemik yang timbul berkaitan AJL adalah sesuatu yang lumrah malah perlu diraikan.

“Selama 38 tahun, TV3 tidak pernah gagal menganjurkan anugerah muzik untuk pemuzik, komposer dan penulis lirik.

“Memang sejak Muzik Muzik hingga ke AJL, ada banyak rentetan tapi saya tidak melihat ia sebagai satu masalah,” katanya.

Ditemui pada sidang media AJL ke-38 di Axiata Arena, Bukit Jalil awal pagi tadi, Nini berharap, mereka yang menyuarakan rasa tidak puas hati agar tidak ‘merajuk’ sebaliknya kembali untuk memeriahkan acara itu pada masa depan.

Beberapa penyanyi dan komposer meluahkan perasaan tidak berpuas hati sejak awal penganjuran separuh akhir Muzik-Muzik ke-38 dan ia membawa ke AJL ke-38 .

Antara lain rasa tidak senang mereka berpunca daripada terma serta syarat hak cipta yang dikenakan tidak adil serta ketat.

Persediaan sejak awal tahun

Mereka juga mengadu berhubung isu pembayaran persembahan kepada penyanyi yang bertanding.

Ia bermula apabila tempat Ernie Zakri selaku penyanyi Astana digantikan Nadeera Zaini semasa di peringkat separuh akhir. Pertukaran penyanyi itu dikatakan dibuat tanpa persetujuan Ernie.

Kmy Kmo, Luca Sickta dan Sufian Suhaimi pula sepakat menarik diri kerana tidak bersetuju dengan terma dan syarat berkaitan hak cipta lagu.

Tidak setakat itu, penyanyi veteran Jamal Abdillah turut mengumumkan menarik diri daripada bertanding biarpun lagu nyanyiannya bersama Wany Hasrita, Ku Cuma, mara ke AJL ke-38.

Menurut Nini, AJL adalah platform yang dilihat berjaya membantu mencungkil bakat, terutama penyanyi atau komposer tanah air yang sukar meraih perhatian di arus perdana.

Katanya, atas alasan itu juga TV3 sanggup membelanjakan sejumlah wang yang besar agar acara berkenaan dapat direalisasikan dengan jayanya.

“Untuk penganjuran AJL ke-38, TV3 berbelanja kira-kira RM3 juta hingga RM4 juta.

“Persiapan pula dilakukan sejak awal tahun sebelum dibuat secara intensif sejak Ogos lalu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS