Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Memang serangan panik tapi bukan sebab digantung tinggi-tinggi - Aisha Retno

Penyandang gelaran naib juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38, Aisha Retno, berkata dia langsung tidak berasa takut yang melampau semasa dirinya digantung setinggi kira-kira 10 meter (30 kaki) ketika melakukan persembahan di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.

Penyanyi itu mengulas demikian selepas dia dilihat berada dalam keadaan kurang sihat dan perlu diiringi beberapa kru produksi sewaktu berjalan menuju ke ruangan sidang media untuk sesi temu bual.

Menurut Aisha, memang dia ada mengalami serangan panik namun ia mungkin berpunca daripada masalah keletihan melampau yang dialami selepas membuat persiapan panjang.

“Saya tak ada masalah dengan ketinggian, tapi saya tidak suka pada kelajuan.

"Apabila dimaklumkan produksi mahu tarik saya ke atas (untuk hilang dari sudut liputan kamera), saya cakap jangan tarik laju-laju.

“Kalau nak laju-laju, lebih baik naik roller coaster.

“Saya tak tahu apa yang berlaku pada badan saya, mungkin saya dah terlalu kepenatan,” katanya.

Menurut penyanyi Nukilanku itu, dia memang mengambil masa yang lama untuk membuat persediaan sebelum pentas akhir AJL ke-38 berlangsung.

Katanya seminggu selepas diumumkan lagunya, Sutera, layak ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik dia sudah memulakan perancangan dan persiapan rapi.

“Apabila Allah mahu sesuatu terjadi, kita tidak boleh nak elak. Jadi, ini bukan alasan (untuk tidak berbuat apa-apa) sebagai anak seni,” katanya.

Namun, Aisha, 23, tidak melihat masalah serangan panik yang dialami malam tadi sebagai halangan untuk dia terus berjuang dalam seni selepas ini.

Pada acara berprestij itu, Aisha membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 bersama trofi melalui lagu Sutera. Lebih manis apabila dia juga memenangi kategori persembahan terbaik dan mendapat hadiah wang tunai RM12,000.

Sutera adalah ciptaan Aisha bersama MFMF.

Pada masa sama, Aisha berkongsi rasa bangga kerana berpeluang meraih kemenangan dan dapat berada sebaris dengan dua idolanya, Amir Jahari dan Aina Abdul.

Katanya, dia bersyukur dengan kemenangan Sutera walaupun baru kali pertama bersaing merebut anugerah di pertandingan sedemikian.

“Amir dan Aina adalah idola saya. Memang bangga kerana dapat bersaing bersama mereka di AJL ke-38 dan memenangi gelaran naib juara.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki lagi, saya mahu sertai edisi anugerah juara lagu yang akan datang,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS