Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Lagu Hasrat nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Amir Jahari menepati ramalan apabila karya itu mengungguli acara kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang melabuhkan tirainya di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.

Kemenangan itu melayakkan Amir memenangi trofi dan wang tunai RM100,000 melalui runut bunyi filem Imaginur tersebut.

Sebelum ini, beberapa selebriti termasuk Neelofa meramalkan lagu Hasrat nyanyian Amir bakal menjuarai pertandingan itu.

Naib juara AJL38 menjadi milik lagu Sutera nyanyian Aisha Retno menerusi lagu ciptaannya bersama MFMF dan lirik oleh Aisha sendiri. Kemenangan itu melayakkan penyanyi berusia 23 tahun itu membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi.

Lebih mengujakan, pertama kali menyertai anugerah berprestij, Aisha turut menerima Anugerah Persembahan Terbaik sekali gus membawa pulang wang tunai RM12,000 beserta trofi.

Menduduki tempat ketiga adalah lagu Jangan Mati Rasa Itu, ciptaan sepenuhnya Aina Abdul. Kemenangan itu melayakkan Aina menggondol hadiah trofi dan wang tunai RM30,000.

Bukan itu sahaja, Aina turut memenangi dua kategori lain iaitu Anugerah Penyanyi Pilihan Alha Alfa dan Vokal Terbaik. Bagi setiap kategori, Aina membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM12,000 dan trofi.

Untuk rekod, bakat muda dilihat banyak menguasai kebanyakan daripada 12 lagu yang dipertandingkan pada AJL38 kali ini.

Pentas acara bertemakan Muzikaverse itu juga buat pertama kalinya menggunakan teknologi pencahayaan Light Emitting Diode (LED) sebanyak 90 peratus.

AJL38 diacarakan oleh Sherry Alhadad bergandingan bersama Alif Satar manakala acara karpet Merah AJL38, dihoskan Fizzy Ali dan Fizza Frizzy serta bersiaran di TV3 dan strim melalui Tonton.

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada Shila Amzah, Dayang Nurfaizah, Ratu Rock Negara, Ella dan Zainal Abidin.

Berikut adalah senarai lagu yang bertanding di pentas AJL38:

  • Jangan Mati Rasa Itu (penyanyi, komposer dan lirik, Aina Abdul)

  • Sutera (penyanyi Aisha Reno / komposer Aisha Retno dan MFMF/ lirik MFMF)

  • Santai (penyanyi Naqiu/ komposer Faizal Tahir, Ezra Kong)

  • Inilah Jalannya (band Masdo / komposer Noh Salleh)

  • Astana (penyanyi Ernie Zakri / komposer dan lirik, Omar K, Shazriq Azeman, Ernie Zakri dan Syamel)

  • Darah (penyanyi Marsha Milan/ komposer dan lirik, Naim Daniel, Firdaus Rahmat)

  • Kalam (penyanyi Shiha Zikir/ komposer dan lirik, Iqie Hugh, Firdaus Rahmat, John Jeeves)

  • Hasrat (penyanyi, komposer dan lirik, Amir Jahari)

  • Kucuma (penyanyi Wany Hasrita dan Afieq Syazwan/ komposer dan lirik, A Ramlee dan Ezra Kong)

  • Bintang (penyanyi, komposer dan lirik, Hael Husaini)

  • Waktu (penyanyi Ziana Zain dan Hasif Upin/ komposer dan lirik Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat )

  • Selagi Ku Ada (penyanyi Khai Bahar dan Nabila Razali/ komposer dan lirik Amylea)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS