Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pelakon Shaheizy Sam yakin Lembaga Penapis Filem (LPF) telus membuat semakan sebelum memberi keizinan kepada penerbit untuk menayangkan sesuatu filem kepada umum.

Menegaskan dia tetap menghormati teguran pendakwah terkenal Asma’ Harun berhubung isu filem La Luna, Shaheizy menjelaskan, LPF sudah menjalankan tanggungjawab terbaik dalam memastikan setiap filem ditapis mengikut kesesuaian tontonan.

“Saya rasa selamat sebab kita ada LPF. Saya tak rasa LPF akan lepaskan filem yang mungkin tidak sesuai untuk ditonton setiap lapisan penonton tempatan.

“Kadang-kadang kita tidak pandai merealisasikan visual yang pengarah nampak. Cuma kita boleh tahu visual itu tidak mungkin sampai jadi ekstrem kerana mempunyai badan pemantau seperti LPF,” katanya.

Pelakon yang kini muncul dengan drama bersiri Takdir Itu Milik Aku itu juga menegaskan, dia terlebih dulu meneliti skrip sebelum bersetuju menjayakan sesuatu tawaran kerja.

Katanya, sebagai pelakon, dia tahu apa yang dilakukannya namun tidaklah sampai ke tahap mengetepikan agama atau berfikiran liberal seperti didakwa segelintir pihak yang sudah menonton filem berkenaan.

“Bagi saya, La Luna adalah antara naskhah kegemaran sepanjang hayat, tapi pemikiran saya tidaklah sampai ke tahap liberal hingga mengetepikan agama atau sebaliknya.

“Ada sebab mengapa saya tidak memberi apa-apa komen sejak awal (isu tercetus) kerana bagi saya setiap manusia ada pandangan yang berbeza. Jadi pandangan siapa yang kita nak ambil?

“Kalau bercakap soal nawaitu (niat) kenapa kita buat sesuatu perkara, hanya Allah SWT yang tahu niat kita,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Ramadan Astro 2024 di sebuah hotel di Bukit Kiara semalam.

La Luna yang ditayangkan di pawagam November tahun lalu mendapat kecaman netizen sejak filem tersebut disiarkan menerusi platform penstriman, Netflix pada 9 Februari lalu.

Ia turut meraih perhatian Asma’ yang menyifatkan La Luna seolah-olah memperlekeh dan mengundang persepsi buruk terhadap agama Islam.

Katanya, beberapa watak dan babak dalam filem didakwa mempromosi adegan soft porn yang bertentangan dengan nilai dan adab Islam.

Asma’ turut mempersoalkan mengapa pakaian dalam wanita diangkat sebagai mesej utama sedangkan ia bertentangan dengan adab orang Melayu.

Tambah Shaheizy, dia ada berbual dengan ustaz ketika menunaikan umrah baru-baru ini dan memberitahu, masing-masing memberikan pendapat sendiri.

Menurutnya, ada yang mengakui sudah menonton filem berkenaan malah memberikan respons positif.

“Semua itu berbalik kepada seseorang individu, bagaimana kaitkan isu yang muncul sama ada dengan kehidupan sendiri, orang lain atau agama.

“Jadi, terpulang pada hati masing-masing bagaimana hendak hukum filem itu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS