Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
XPDC yakin peminat enggan belanja ratusan ringgit tonton band tribute

Band XPDC Militia yakin peminat tegar kumpulan itu akan bijak membuat keputusan mengeluarkan belanja membeli tiket bagi menyaksikan kumpulan kegemaran mereka beraksi di mana-mana pentas.

Justeru, pemain bassnya, Eddie, menganggap peminat muzik tentu enggan mengeluarkan sebarang wang untuk menonton persembahan kumpulan lain yang didakwa tidak diberi izin oleh pemegang rekod namun masih menggunakan nama yang hampir sama dengan band terbabit.

“Adakah penganjur festival muzik mahu panggil sekadar band tribute? Tidak, kan? Peminat sendiri pun boleh menilai.

"Takkanlah mereka nak keluarkan ratusan ringgit hanya untuk tonton band tribute?

“Kami pasti, dari segi pendapatan setiap persembahan pun berbeza dengan apa kami dapat. Takkanlah mereka nak letak harga macam kami.

“Tiada siapa akan panggil. Mungkin persembahan dengan tiket free bolehlah,” katanya.

Eddie turut menggesa pihak terbabit untuk menghentikan kemelut yang berlaku akibat penggunaan nama band yang hampir sama kerana bimbang ia boleh menimbulkan kekeliruan jika ia berpanjangan.

Bahkan, dia menyifatkan band lain yang menggunakan nama hampir sama sekadar mahu meraih publisiti dengan mencipta sensasi.

“Kalau boleh kita minta hentikan, tak perlu cipta kontroversi dengan isu nama ini. Mungkin mereka suka apabila ada netizen komen dan kecam.

“Bagi mereka, ia mungkin satu bentuk promosi percuma,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran Loop Music Festival yang berlangsung di sebuah hotel, di Kuala Lumpur semalam.

Selain XPDC Militia, turut menjayakan acara itu nanti adalah nama-nama besar seperti Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah.

Penyanyi lain yang akan membuat persembahan ialah Masdo, Amelina, Insomniacks, Noraniza Idris, Ronnie Hussein, Nadeera Zaini, Aisha Retno, Usop, Sufian Suhaimi, Lucidradi, Disko Santan dan Arish Mikael.

Acara yang dibawakan khas oleh AirAsia dan Tune Group itu bakal berlangsung di Axiata Arena di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 11 Mei depan.

Sebelum ini, media melaporkan Life Records memberi keizinan kepada dua band XPDC untuk menggunakan nama XPDC iaitu XPDC Militia dan XPDC Pengyu.

Isu membabitkan nama XPDC menjadi keruh selepas muncul kumpulan ketiga menggunakan nama hampir sama selain mempromosi dan mengadakan persembahan dengan lagu-lagu XPDC.

XPDC Militia menampilkan anggota asal iaitu Izo selaku pemain gitar dan Ali sebagai vokalis, Eddie dan Lola adalah anggota baru.

XPDC Kita Pengyu pula dibarisi Zuar bersama Amy (dram) dan anggota baru, Jeff (gitar) dan Ary sebagai vokalis.

Lola pula mencadangkan agar band terbabit meminta keizinan Life Records terlebih dulu sebelum berterusan mengadakan promosi dan persembahan mengunakan lagu-lagu XPDC.

Namun, katanya, adalah lebih afdal sekiranya band terbabit menggunakan nama band tribute seperti dicadangkan Presiden Karyawan Malaysia, Freddie Fernandez dalam kenyataannya kepada media sebelum ini.

“Apa pun band itu kena minta izin daripada Life Records. Pada sayalah, tak perlu lagi gunakan nama XPDC tapi guna nama band tribute saja.

“Macam kenyataan Freddie, mereka harus minta kebenaran seperti dilakukan The Iron Maidens (dianggotai pemuzik wanita) yang mainkan semula lagu-lagu asal kumpulan Iron Maiden,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS