Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Abby nafi Marissa terkena buatan orang
Diterbitkan:  Feb 28, 2024 4:14 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Pelakon Abby Abadi tampil menegaskan dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mendakwa Marissa Dania Hakim sudah terkena buatan orang atau disihir.

Kata Abby, sebarang kenyataan tidak sahih boleh menimbulkan fitnah kepada dirinya sebagai ibu remaja terbabit.

“Bila masa pula saya keluarkan kenyataan ini? Baca di mana?

"Banyak sangat ke pahala mereka ini asyik keluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan fitnah pada saya,” katanya di media sosial.

Abby yang juga bekas anggota Elite itu berkata demikian sebagai memberi respons kepada soalan yang diajukan oleh pengguna alam maya.

Pada posting berbeza, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan menyelar laporan sebuah portal yang didakwa telah memutarbelitkan kenyataannya sebelum ini.

Laporan itu mengaitkan Marissa sudah terkena buatan orang kerana menunjukkan perubahan sikap yang drastik.

Nama Marissa, 18, menjadi sorotan dunia hiburan sejak tahun lalu kerana dituduh menjadi orang ketiga dalam rumah tangga Aslam bersama isterinya, Misya Mazlan.

Remaja itu sekali lagi mengundang perhatian apabila timbul dakwaan terbaru yang mengaitkan dia dengan perkahwinan dengan lelaki terbabit secara senyap-senyap di Songkhla, Thailand.

Sebelum ini, dalam satu wawancara di Instagram bersama pengusaha kosmetik sensasi, Aliff Syukri, Abby mengeluarkan kenyataan yang membayangkan Marissa seolah-olah berubah 180 darjah malah dia bukan lagi anak yang dikenalinya sejak dilahirkan.

Pada wawancara itu juga, Abby berkata, Aslam - lelaki yang didakwa bernikah dengan Marissa tanpa pengetahuannya - disifatkan tidak mampu berpoligami kerana bukan seorang yang berkemampuan.

Abby sebelum itu dipuji kerana masih mampu mengukir senyuman dan kelihatan tenang biarpun diduga dengan ujian yang berat.

Katanya, apabila berdepan dugaan, dia menyerahkan urusannya itu kepada Allah SWT.

“Apabila kebergantungan hanya pada Allah, insya-Allah segala-galanya akan tenang saja. Doakan yang baik-baik ya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS