Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Ketika muncul dakwaan kutipan tiket untuk filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah tidak memberangksangkan dan dia sendiri tidak beraksi untuk filem itu, aktor Beto Kusyairi tetap memberikan kata-kata baik untuk pihak penerbit.

Kata Beto, tidak timbul isu iri hati kerana dia tidak lagi dilibatkan dalam filem yang muncul selepas Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu.

“Paling penting, saya sentiasa mendoakan kejayaan mereka. Tiada istilah iri hati,” katanya.

Pada masa sama pembawa watak Wahid dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu menyatakan rasa terkilan kerana belum sempat menonton Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

Ditanya mengapa dia masih belum menonton filem berkenaan, Beto menjawab, ia disebabkan dia dikekang jadual kerja yang padat.

“Masa yang tidak mengizinkan kerana saya dihimpit dengan komitmen lain.

“Saya agak ralat juga kerana tidak berkesempatan tengok walaupun ramai sahabat saya yang berlakon dalam filem itu,” katanya.

Beto berkata demikian ketika ditemui pada majlis Elrah Exclusive Grand Launching di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Pelakon Bisik Pada Langit dan Imaginur itu mengulas cakap-cakap belakang yang mendakwa Pendekar Awang: Darah Indera Gajah gagal mencatat kutipan yang baik.

Maklumat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyatakan Pendekar Awang: Darah Indera Gajah memperolehi kutipan lebih RM5 juta sejak ia ditayangkan pada 11 Jan lalu

Jumlah itu jauh di bawah berbanding Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mendapat kutipan hampir RM100 juta.

Tak ada hak nak ulas

Pendekar Awang: Darah Indera Gajah yang diarahkan Shahruddin Dali dan Saiful Reza manakala Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan disutradarai Syamsul Yusof.

Pendekar Awang: Darah Indera Gajah dibintangi Fattah Amin, Nur Fazura, Nadhir Nasar, Amir Ahnaf dan Heliza.

Ditanya lanjut, Beto, 44, enggan menggulas lebih banyak mengenai jumlah kutipan filem berkenaan dan berpendapat sangat tidak wajar untuk dia membandingkan prestasi kedua-dua karya itu memandangkan ia dikemudi oleh individu berbeza.

“Penonton sedia maklum penggambaran itu membabitkan pengarah yang berbeza.

“Pengarah dan penulis skrip pula memilih pelakon berdasarkan visi dan misi mereka, jadi saya tiada hak untuk mengulas hal ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS