Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hanung Bramantyo ‘silap’ suntik banyak elemen seram

Pengarah Indonesia yang terkenal dengan kisah-kisah cinta, Hanung Bramantyo, mengakui dia sempat berasa canggung untuk mengarahkan Trinil: Kembalikan Tubuhku selepas 17 tahun tidak bergelumang dengan genre seram.

Justeru kata Hanung, dia percaya dirinya melakukan sedikit kesilapan sewaktu menyiapkan filem tersebut.

“Penonton bukan saja nak ada perasaan takut atau menangis sewaktu tonton filem. Tangis itu adalah perasaan yang muncul daripada konflik.

“Jadi saya rasa ada satu silap, ini saya sedari perkara ini kerana saya biasa mengarahkan filem genre drama,” katanya.

Pengarah filem Pengejar Angin itu kemudian berkongsi perkara paling disesalkannya sewaktu mengarahkan Trinil: Kembalikan Tubuhku iaitu keterujaannya untuk menghidupkan naskhah tersebut.

Katanya, disebabkan hal itu, dia hanya memberi fokus untuk mewujudkan elemen seram semata-mata tanpa menitikberatkan unsur lain.

“Seharusnya saya adakan lebih drama dalam filem tersebut.

“Aspek ini akan saya perbaiki pada masa akan datang. Sudah 17 tahun saya tidak arahkan filem seram,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem itu di sebuah kompleks di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berkongsi aspek tabu dua negara

Untuk rekod, kali terakhir Hanung mengarahkan filem genre seram ialah pada 2007 melalui Legenda Sundel Bolong.

Filem berkenaan adalah terbitan produksi tempatan, Seven Skies Motion Sdn Bhd bersama rumah penerbitan dari Indonesia, Dapur Film.

Trinil: Kembalikan Tubuhku mulai ditayang di pawagam tempatan sejak 22 Feb lalu. Filem seram itu berkisahkan kehidupan pasangan suami isteri, Rara dan Sutan, yang ingin memulakan kehidupan baru selepas berkahwin.

Rara yang mewarisi ladang teh terletak di Jawa Tengah manakala Sutan hanyalah jururawat hospital.

Gangguan mistik hantu tanpa tubuh atau penanggal mulai berlaku di ladang teh tersebut dengan diiringi kematian pekerja yang semakin meningkat.

Buntu untuk mencari jalan penyelesaian, Rara menerima cadangan suaminya untuk menggunakan khidmat seorang pawang, Yusof, bagi menangani masalah mereka.

Mengulas lanjut, Hanung, 48, berkata antara faktor dia memilih untuk mengangkat naskhah tersebut sebagai filem adalah selepas kejayaannya yang bermula dari drama radio popular era 1980-an.

Menurut Hanung, pertama kali dia mendengar drama radio itu ia sudah menimbulkan perasaan seram dalam dirinya.

“Misalnya dialog Trinil Balekno Gembungku yang diungkapkan oleh salah satu watak dalam drama radio itu cukup menyeramkan saya.

“Konflik ini pula memang wujud dalam realiti mengenai kisah ibu dan anak yang berebut jantan. Ini pernah berlaku di Indonesia suatu ketika dulu.

“Ini juga bukan kisah stereotaip, saya olah supaya ia boleh disesuaikan dengan kisah semasa tapi keasliannya dikekalkan,” katanya.

Pada masa sama, Hanung berharap lebih banyak kolaborasi dengan pengarah filem Malaysia dapat dijalinkan dengan lebih kerap memandangkan wujud persefahaman dalam pasaran kedua-dua negara.

“Misalnya dalam perkara yang disifatkan tabu di Indonesia, juga tabu di Malaysia. Ini dapat dilihat melalui adegan seksual yang dipaparkan.

“Jadi, saya ajak pembikin Malaysia kolaborasi lagi dengan Indonesia kerana pasaran yang besar selain faktor silang budayanya,” kata Hanung.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS